Wartawan India bebas dari pertuduhan bunuh isteri


SEORANG wartawan TV popular di India pada Jumaat telah dibebaskan oleh sebuah mahkamah tinggi di New Delhi daripada pertuduhan membunuh isterinya lebih 18 tahun lepas, lapor agensi berita China Xinhua memetik media tempatan.

Menurut laporan media tempatan, Suhaib Ilyasi, yang kini ditahan di ibu negara India, telah mencabar sabitan terhadapnya oleh mahkamah rendah tahun lepas.

Anju, isteri Ilyasi, telah meninggal dunia lebih 18 tahun lepas, dan setahun selepas kematiannya, wartawan itu telah didakwa melakukan “pembunuhan” tersebut.

Panel dua hakim Mahkamah Tinggi New Delhi pada Jumaat “membenarkan” rayuan Ilyasi bagi mencabar sabitan dan hukuman penjara terhadapnya.

Mahkamah yang mendengar perbicaraan kes itu pada Disember telah menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup ke atas Ilyasi selepas didapati menikam isterinya sehingga mati, dan berkata dia “telah melakukan pembunuhan itu dan mengaburinya seolah-olah mangsa membunuh diri.”

Isteri Ilyasi meninggal dunia pada Januari 2000 dengan kesan luka tikaman pada badannya. 

Ilyasi telah ditahan pada Mac 2000, dan berdepan pertuduhan membunuh isterinya selepas adik ipar dan ibu mertuanya mendakwa dia sering mendera Anju secara fizikal. – Bernama, 5 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen