Menteri Mongolia dipecat selepas pegawai mati dibunuh


Parlimen pada Khamis sebulat suara mengundi Bat-Erdene Jadamba yang memegang portfolio pengangkutan dipecat selepas kejadian pembunuhan yang berlaku pada 9 Ogos lepas. – Gambar AFP, 5 Oktober, 2018.

MENTERI pengangkutan Mongolia dipecat selepas seorang pegawai dipukul sampai mati dalam bangunan kementeriannya kerana berebutkan jawatan.

Parlimen pada Khamis sebulat suara mengundi Bat-Erdene Jadamba yang memegang portfolio pengangkutan dipecat selepas kejadian pembunuhan yang berlaku pada 9 Ogos lepas.

Gombosuren Tumurkhuyag, 38, ketua di jabatan audit dalaman dipukul sampai mati di dalam bangunan kementerian pengangkutan.

Ketua jabatan pentadbiran dan pengurusan negeri, Makhbal Badam, ditahan keesokan hari.

Hujung bulan lepas, bapa mangsa memberitahu pemberita anak lelakinya itu tertekan kerana dipaksa meletak jawatan sejak Februari. Tambah beliau, anaknya dibunuh kerana ada yang berebutkan jawatannya.

Bat-Erdene melantik suspek selepas jadi menteri tahun lepas.

Ahli-ahli Parlime pada Khamis juga berkata pembunuhan tersebut ada kaitan dengan perebutan jawatan.

“Nyawa diambil dengan kejam kerana jawatan dalam kerajaan. kes ini tidak boleh hanya dianggap sebagai satu kejadian,” kata Ahli Parlimen Oyundari Yunden sebelum undian dijalankan.

Jawatan dalam kerajaan amat diimpikan di Mongolia, negara demokrasi yang terletak antara China dan Russia. – AFP, 5 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen