Bekas presiden Korea Selatan dipenjara 15 tahun kerana rasuah


Bekas presiden Korea Selatan, Lee Myung-bak dibantu keluar dari kenderaan penjara ketika tiba di Mahkamah Daerah Seoul pada 20 Julai bagi perbicaraannya. – Gambar EPA, 5 Oktober, 2018.

BEKAS presiden Korea Selatan, Lee Myung-bak dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun kerana rasuah pada Jumaat, menjadikan beliau bekas pemimpin negara terkini yang dihantar ke penjara.

Bekas presiden berusia 76 tahun yang berkhidmat dari 2008 hingga 2013, didapati bersalah atas dakwaan rasuah dan penggelapan, diperintahkan membayar denda 13 bilion won (AS$11.5 juta) oleh Mahkamah Pusat Daerah Seoul.

“Mempertimbangkan segala-galanya, hukuman berat bagi tertuduh tidak dapat dielakkan,” kata seorang hakim semasa perbicaraan disiarkan secara langsung.

Lee tidak hadir kerana tidak sihat.

Bekas pemimpin Korea Selatan itu didakwa pada April atas 16 pertuduhan termasuk rasuah, penggelapan dan penyalahgunaan kuasa.

Mahkamah mendapati Lee adalah pemilik de facto DAS - sebuah syarikat bahagian auto yang menjadi kontroversi yang beliau dakwa dimiliki saudara lelakinya - digunakannya untuk membuat dana haram sekitar 24 bilion won.

Lee juga didapati bersalah menerima hampir 6 bilion won daripada Samsung Electronics sebagai balasan pengampunan presiden bagi pengerusinya Lee Kun-hee, yang dipenjara kerana kesalahan mengelak cukai.

Pihak Samsung dan Lee menafikan sebarang salah laki. – AFP, 5 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen