PAKATAN Harapan (PH) masih mencari jalan penyelesaian bagaimana parti politik di negara ini dapat menguruskan parti masing-masing tanpa perlu meminta derma atau sumbangan daripada orang ramai.
Pengerusi PH Dr Mahathir Mohamad berkata, pihaknya perlu memperhalusi lagi cadangan yang ada supaya amalan rasuah di dalam parti politik dapat dikurangkan.
“Kita sudah tumpukan dan nyatakan tidak akan ada rasuah dalam pengurusan parti kerana rasuah terbesar berlaku di kalangan parti politk. Tetapi hakikatnya, parti politik perlu ada kewangan sepatutnya.
“Jadi mesyuarat hari ini tidak dapat tentukan bagaimana parti politik akan dibiayai. Kita tidak dapat putusnya dan akan kaji bagaimana parti politik boleh berfungsi tanpa bantuan mana-mana pihak,” katanya dalam sidang media di Yayasan Al-Bukhary Kuala Lumpur hari ini.
Menurut Dr Mahathir, antara cadangan yang dikemukakan adalah supaya kerajaan mengikut langkah negara Jerman yang memberi peruntukan kepada parti politik.
Menurut beliau, rasional cadangan ini supaya tiada mana-mana pihak boleh memberi tekanan atau rasuah kepada kerajaan disebabkan sumbangan politik yang diberikan itu.
“Ada cadangan supaya kita mencontohi kerajaan Jerman yang memberi peruntukan kepada parti politik supaya ia tidak perlu menerima derma daripada orang ramai. Ini kerana kalau ada derma atau bantuan kewangan daripada orang ramai, ia mungkin dijadikan satu cara untuk merasuah kerajaan.
“Baru-baru ini sebuah syarikat ingin menderma RM100 juta kepada Tabung Harapan tetapi kita tolak. Jelas sekali yang beri itu ada hajat lain.
“Itu untuk Tabung Harapan, bukan parti. Kalau kepada parti lebih teruk lagilah,” katanya.
Bagaimanapun, kata ahli Parlimen Langkawi itu, sekiranya kerajaan memutuskan untuk mengambil langkah seperti Jerman, ia tidak bermakna mana-mana pihak boleh dengan sewenang-wenangnya menubuhkan parti baru untuk mendapatkan dana. – 5 Mac, 2018.
Komen