Gegaran susulan terus dirasai di Sulawesi Tengah


Beberapa orang penduduk Kota Palu sedang menunggu pihak penyelamat menjalankan operasi mencari mangsa gempa dan tsunami. – Gambar EPA, 5 Oktober, 2018.

KEINGINAN pengamal media yang menyertai Kumpulan Misi Bantuan Kemanusian Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menyelami perasaan masyarakat tempatan dan merasai sendiri keadaan ketika gempa bumi hari ini menjadi kenyataan.

Rasa gerun dan kebimbangan jelas menguasai diri apabila bandar, yang terkenal dengan keindahan pantai, terus mengalami gegaran susulan setiap hari dalam tempoh yang pendek.

Bagi wartawan TV Al- Hijrah, Serieffa Mushtafa Albakry, 36, berkata terdapat dua gegaran selama 10 saat berlaku dalam tempoh satu jam, tetapi ia cukup memberi gambaran akan perasaan masyarakat setempat pada hari pertama kejadian gempa itu berlaku.

“Kejadian berlaku pada pukul 1 dan 2.10 pagi.. Ketika itu, kami (kumpulan wartawan) sedang berkumpul dengan bersandar di dinding bangunan sekolah agama, yang kami jadikan tempat berteduh, untuk menyiapkan tugasan liputan di sini.

“Secara tiba- tiba, dinding bangunan itu seolah-olah menolak kami dengan kuat dari belakang menyebabkan kebanyakan kami lari ke tempat lapang,” katanya hari ini.

Petugas media berkenaan mengikuti Misi Bantuan Kemanusian Mapim, yang merupakan pasukan pertama Malaysia menyalurkan bantuan kepada mangsa gempa berukuran 7.5 pada skala Richter dan tsunami yang melanda Kota Palu, Jumaat lepas.

Sementara itu, wartawan NSTP, Shahir Othman, 32, berkata debaran 10 saat itu cukup membuktikan masyarakat di Sulawesi Tengah ini cukup tabah dalam berdepan situasi getir seperti itu.

“Pelbagai perasaan bermain di fikiran ketika itu, antaranya, jika kami merasa 10 saat itu sudah cukup lama, bagaimana pula penduduk di sini (Kota Palu) yang dikatakan merasa gegaran sehingga tiga minit pada hari kejadian.

“Mereka sememangnya antara masyarakat yang tabah dalam berdepan ujian Allah,” katanya.

Turut menyertai misi itu adalah 15 sukarelawan termasuk dua petugas Bernama.

Tinjauan mendapati kebanyakan masyarakat tempatan sudah lali dengan gempa susulan berkenaan, bagaimanapun tetap mengambil langkah berjaga-jaga.

Menurut Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia, jumlah mangsa korban gempa bumi dan tsunami di Sulawesi Tengah meningkat kepada 1,517 orang setakat 6 petang, semalam. – Bernama, 5 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen