PEMERHATI hak sivil New Zealand membangkitkan kebimbangan terhadap undang-undang baru yang membolehkan pegawai kastam meminta kata laluan bagi peranti elektronik seperti komputer riba atau telefon bimbit di sempadan.
Kegagalan mematuhi undang-undang yang berkuatkuasa minggu ini, boleh didenda NZ$5,000 (AS$3,240) dan rampasan serta pemusnahan peranti itu.
Majlis Kebebasan Sivil New Zealand menggambarkan kebenaran itu sebagai “terlalu berlebihan” dan tidak seimbang.
Pengerusi Majlis Thomas Beagle berkata ia adalah pencerobohan serius terhadap privasi kerana memberikan akses kepada pegawai kastam terhadap maklumat mengenai telefon pintar, yang boleh memasukkan data seperti rekod perubatan, e-mel dan surat.
“Kita memberikan akses kastam terhadap seluruh kehidupan digital kami agar mereka boleh menghalang seseorang yang mengimport filem cetak rompak atau mengelakkan membayar duti,” katanya.
Pegawai kastam perlulah mempunyai “sebab munasabah” untuk mengesyaki kesalahan dilakukan itu.
Bagaimanapun, Beagle berkata perkhidmatan polis dan perisikan berdepan halangan lebih sukar sebelum mereka boleh menuntut kata laluan itu.
“Realiti undang-undang ini adalah ia memberikan pihak kastam kuasa untuk mengambil dan memaksa membuka telefon pintar orang lain tanpa alasan atau rayuan,” katanya.
Kastam New Zealand berkata pegawai di banyak negara boleh menuntut akses kepada peranti elektronik tetapi undang-undang baru itu dipercayai merupakan kali pertama disebut secara khusu mengenai kata laluan.
Jurucakap Kastam Terry Brown berkata perubahan itu diperlukan untuk memberikan kuasa kepada pegawai jika mereka disyaki melakukan kesalahan.
“Ia mungkin pelbagai perkara yang melibatkan eksploitasi kanak-kanak, penyeludupan dadah, aktiviti pengganas dan sebagainya, dan atas dasar itu kita boleh meminta anda memberikan akses kepada telefon melalui apa cara seperti cap jari atau kata laluan,” katanya kepada radio komersial.
Brown berkata New Zealand mengalu-alukan 6.6 juta pengunjung antarabangsa pada 2017 dan hanya menggeledah 537 alat elektronik.
Beliau tidak mengharapkan angka itu meningkat dengan ketara disebabkan peraturan baru itu. – AFP, 5 Oktober, 2018.
Komen