KETIKA mula bekerja, Masako Wakamiya masih menggunakan sempoa untuk membuat pengiraan – kini pada usia 82 tahun dia merupakan pemaju aplikasi iPhone trailblazer paling tua, dalam menjadikan telefon pintar mudah diakses warga emas.
Kecewa dengan kurangnya perhatian industri teknologi mendekati warga tua, dia mempelajari sendiri proses mengekod dan bertekad untuk membangunkan aplikasi sendiri.
Walaupun berusia lebih 60 tahun, dia nekad mencari kemahiran baru untuk kekal lincah.
“Bila kamu berusia, kamu akan kehilangan segala-galanya, suami, kerja, rambut, penglihatan. Kelemahannya agak banyak. Tapi apabila mempelajari seustau yang baru, sama ada memprogramkan piano, ia satu kelebihan dan sangat memotivasikan,” katanya.
“Bila kamu mencapai kehidupan profesional, kamu kena terus belajar. Dalam era internet sekiranya kamu berhenti belajar, ia memberi kesan kepada kehidupan seharian,” katanya kepada AFP ketika ditemui di kediamannya di Tokyo.
Dia mula meminati komputer pada 1990 selepas bersara daripada tugasnya sebagai kerani bank. Dia mengambil masa berbulan-bulan untuk membina sistem pertamanya bermula dengan mesej BBS, iaitu permulaan kepada internet sebelum membina kemahiran menggunakan komputer Microsoft, kemudian Apple Mac dan iPhone.
Wakamiya meminta pemaju perisian untuk mencipta banyak perisian kepada warga tua, namun tiada maklum balas yang kemudiannya menyebabkan dia mengambil jalan sendiri.
Dia mula mempelajari asas pengekodan dan membangunkan aplikasi “Hinadan”, salah satu aplikasi permainan pertama Jepun untuk warga tua – dia mula menjadi rebutan di mana tahun ini Apple menjemputnya menyertai Persidangan Pemaju Persisian Sedunia, yang aman dia merupakan yang tertua mengambil bahagian.
Sumber inspirasi
“Hinadan” diinspirasikan Hina Matsuri, satu festival anak patung yang berlangsung pada Mac setiap tahun, di mana patung hiasan mewakili maharaja, keluarga serta tetamunya dipamerkan dalam susunan yang spesifik.
Dalam aplikasi yang dimajukan Wakamiya, pengguna perlu meletakkannya dalam posisi yang betul – satu tugasan yang sukar, yang memerlukan ingatan susunan yang kompleks.
Aplikasi itu yang kini boleh didapati di Jepun, sudah dimuatnaik 42,000 kali dengan ratusan komen positif daripada pengguna.
Walaupun angka itu boleh dikatakan kecil berbanding aplikasi Jepun lain yang dimuat naik berjuta kali, “Hinadan” membuktikan ia cukup popular dan Wakamiya bercadang untuk mengeluarkan versi bahasa Inggeris, Cina dan kemungkinan bahasa Perancis.
Di Silicon Valley, pekerja berumur 40an dianggap tua bagi sesetengah syarikat dan menurut laporan penyelidikan yang dijalankan firma Payscale, had umur median bagi pekerja di Facebook adalah antara 29 tahun dan di Apple 31 tahun. – AFP, 9 Ogos, 2017.
Komen