Kembali ke penjara umpama dijatuhi hukuman mati, kata Fujimori 


Bekas presiden Peru Alberto Fujimori dimasukkan ke hospital sebanyak empat kali sejak pembebasannya pada Disember berikutan masalah jantung.– Gambar EPA, 5 Oktober, 2018

BEKAS presiden Peru Alberto Fujimori menyifatkan kembali ke penjara umpama “hukuman mati”, sehari selepas mahkamah menarik balik pengampunan terhadap jenayah kemanusiaan.

Fujimori, 80 menyatakan rayuan kepada Presiden Peru Martin Vizcarra dan kehakiman negara itu menerusi rakaman video yang direkodkan di katilnya di hospital. 

“Tolong jangan bunuh saya. Jika saya kembali ke penjara jantung saya tidak dapat menerimanya. Ia terlalu lemah untuk melalui perkara sama lagi. Jangan jatuhkan hukuman mati terhadap saya. Saya tidak mampu lagi.”

Mahkamah pada Rabu menarik balik pengampunan presiden kepada Fujimori, menamatkan lebih sembilan bulan kebebasan yang diberikan menerusi pengampunan yang diberikan oleh presiden sebelum ini pada Disember. 

Bagaimanapun, ketika penahanan semula, Fujimori dikejarkan ke klinik berikutan masalah jantung. 

Doktornya, Alejandro Aguinaga memberitahu wartawan, Fujimori mengalami tekanan darah rendah dan kadar degupan jantung yang tinggi—masalah yang sama dialaminya ketika dirawat di hospital sebelum ini. 

“Beliau sudah pun dianggap sebagai banduan,” kata Menteri Dalam Negeri Mauri Medina kepada radio RRP Chile.

“Beliau diminta meninggalkan klinik untuk ke penjara, kata menteri itu.

Fujimori yang merupakan warga Peru berketurunan Jepun, tinggal di Lima tetapi dimasukkan ke hospital empat kali sejak pembebasannya pada Disember. 

Anak prempuannya Keiko Fujimori yang merupakan pemimpin parti pembangkang utama, menyifatlan keputusan mahkamah pada Rabu sebagai “tidak berperikemanusiaan” dan “tidak adil”. 

“Hari ini hari menyedihkan dalam hidup kami. Ia sangat menyakitkan,” kata Keiko, yang dilihat oleh rakyat Peru sebagai pewaris dinasti politik Fujimori. – AFP, 5 Oktober, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen