Mahkamah Agung India tolak permohonan hantar pulang pelarian Rohingya


Pelarian Rohingya melarikan diri dari Myanmar susulan keganasan maut yang berlaku di negeri Rakhine. – Gambar EPA, 4 Oktober, 2018.

MAHKAMAH tertinggi India pada Khamis menolak permohonan untuk menghalang penghantaran pulang tujuh pelarian Rohingya ke Myanmar, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan beberapa pegawai kerajaan.

“Kami tidak cenderung untuk campur tangan atau mengganggu keputusan yang telah dibuat,” kata Mahkamah Agung.

Keputusan itu dibuat selepas kerajaan persekutuan India menyatakan bahawa Myanmar telah memutuskan untuk menerima orang Rohingya sebagai warganegaranya dan bersetuju mengambil mereka semula.

Pada Rabu, satu rayuan telah difailkan di mahkamah itu meminta pendengaran segera permohonan bagi menghalang perintah kerajaan untuk menghantar pulang ketujuh-tujuh pelarian Rohingya ke Myanmar.

Mereka ditempatkan di pusat tahanan Silchar di negeri Assam selepas didapati tinggal secara haram pada 2012.

Pelarian Rohingya melarikan diri dari Myanmar susulan keganasan maut yang berlaku di negeri Rakhine.

Langkah kerajaan India itu telah mengundang kritikan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, yang menyatakan bahawa kepulangan pelarian terbabit secara paksa boleh dianggap sebagai satu pelanggaran undang-undang antarabangsa. – Bernama, 4 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen