Aktres India disaman selepas dakwaan gangguan seksual


Tanushree Dutta yang pernah menyertai Miss Universe berkata bintang Bollywood, Nana Patekar dan pengarah filem Vivek Agnihotri melakukan serangan seksual terhadapnya pada 2005 dan 2008. – Gambar EPA, 4 Oktober, 2018.

SEORANG aktres India yang mendakwa menerima gangguan seksual di dua set penggambaran filem berkata menerima dua notis saman dan ugutan kekerasan atas dakwaan yang dibuatnya.

Tanushree Dutta yang pernah menyertai Miss Universe berkata bintang Bollywood, Nana Patekar, yang banyak kali menang anugerah telah melakukan serangan serangan seksual terhadapnya semasa penggambaran filem komedi romantik “Horn Ok Pleassss” pada 2008.

Dutta mula membuat tuduhan sepuluh tahun selepas meninggalkan penggambaran filem tersebut.

Beliau membuat tuduhan serupa ketika ditemubual baru-baru ini, mendakwa pengarah filem, Vivek Agnihotri, berkelakuan tidak senonoh terhadapnya ketika penggambaran filem “Chocolate: Deep Dark Secrets” pada 2005.

Patekar dan Agnihotri menafikan dakwaan Dutta.

Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis, Dutta, 37, berkata menerima notis saman dari Patekar dan Agnihotri.

“Inilah harga yang perlu dibayar kerana bersuara terhadap gangguan, penghinaan dan ketidakadilan di India,” kata Dutta.

Selain notis saman, Dutta mendakwa turut menerima “ugutan keganasan” dari kumpulan nasionalis Hindu, Maharashtra Navnirman Sena dan berkata beliau menjadi mangsa kempen “mencemarkan imej” di media sosial.

Peguam Agnihotri berkata tuduhan ke atas pengarah itu “sangat remeh dan palsu” dan mengesahkan yang anak guamnya itu akan menyaman aktres berkenaan.

Masih belum ada kempen seperti #MeToo di India, seperti mana yang berlaku di Hollywood, tetapi Dutta menerima sokongan daripada beberapa bintang Bollywood ternama seperti Priyanka Chopra, Farhan Akhtar dan Sonam Kapoor.

Beberapa pelakon lain juga mula bersuara mengenai isu ini yang selama ini tidak pernah dibincangkan di media sosial. – AFP, 4 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen