Insiden ricin: FBI tahan veteran tentera AS


Beberapa bungkusan yang dialamatkan kepada Pentagon, Rumah Putih dan pejabat seorang senator dikesan mengandungi bahan beracun disyaki ricin yang boleh membawa maut. – Gambar EPA, 4 Oktober, 2018.

BIRO Penyiasatan Persekutuan (FBI) telah menahan seorang veteran Angkatan Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) berhubung insiden beberapa bungkusan yang dialamatkan kepada Pentagon, Rumah Putih dan pejabat seorang senator dikesan mengandungi bahan beracun disyaki ricin yang boleh membawa maut, lapor agensi berita China Xinhua memetik media tempatan pada Rabu.

Pendakwa raya persekutuan telah membenarkan William Clyde Allen ditahan di bawah kausa kebarangkalian di Utah, kata Pejabat Peguam AS bagi Salt Lake City kepada stesen penyiar ABC News.

Menurut Xinhua, satu aduan dijangka dibuat pada Jumaat di sebuah mahkamah persekutuan di Salt Lake City, Utah.

Allen berkhidmat dalam Angkatan Tentera Laut dari 1998 hingga 2002 sebagai pelatih yang mengawal kerosakan akibat kebakaran, kata para pegawai tentera laut kepada Military Times.

Fox News pada Rabu telah memetik kenyataan para pegawai AS yang enggan dinamakan bahawa alamat kembali bungkusan itu berpotensi dikaitkan dengan bekas pelaut tersebut. 

Pada hari sama, jurucakap Pentagon Dana White berkata kandungan bungkusan itu yang telah mencetuskan amaran “kelihatan seperti biji kacang kastor, dari mana ricin diperoleh.”

Pada Isnin, sekurang-kurang empat bungkusan atau surat telah dikesan mengandungi bahan yang mencurigakan.

Dua daripadanya diterima oleh fasiliti mel Pentagon yang dialamatkan kepada Setiausaha Pertahanan Jim Mattis dan Ketua Operasi Angkatan Tentera Laut Laksamana John Richardson.

Yang ketiga dialamatkan kepada Presiden Donald Trump di Rumah Putih manakala bungkusan atau surat terakhir dikirim ke pejabat Senator Republikan Ted Cruz di Texas.

Ricin, sejenis racun yang ditemui dalam kacang kastor, boleh digunakan dalam bentuk serbuk, pelet, cecair atau asid. 

Jika ditelan, dihidu atau disuntik, ia boleh menyebabkan loya, muntah, pendarahan dalam perut dan usus serta boleh membawa maut. – Bernama, 4 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen