LIMA orang terbunuh dalam satu insiden yang disyaki serangan hendap sebelum subuh pada Khamis di Cebu City, Filipina Tengah dan polis tempatan mengesyaki ia berkaitan dengan sindiket pengedaran dadah haram.
Metamfetamin dan pistol ditemui dalam insiden itu yang berlaku sejurus sebelum pukul 4 pagi waktu tempatan di Malubog, antara perkampungan di bandar tersebut.
Menurut agensi berita China Xinhua, polis berkata dua mayat ditemui dalam sebuah van yang penuh ditembusi peluru manakala yang lain ditemui beberapa meter dari kenderaan itu.
Laporan media menyebut polis berkata terdapat banyak luka tembakan pada mayat kesemua mangsa.
Polis menemui kira-kira 30 kelongsong peluru kosong di tempat kejadian.
Bagaimanapun, siasatan awal polis menunjukkan serangan hendap itu mungkin mempunyai kaitan dengan sindiket pengedaran dadah haram kerana sejenis bahan kristal putih, dipercayai hidroklorida metamfetamin, serta beberapa pucuk pistol telah ditemui dalam van terbabit. – Bernama, 4 Oktober, 2018.
Komen