INDUSTRI sutera Bangladesh merupakan antara yang tertua di dunia, yang mana para petani di daerah sempadan barat laut Rajshani menghasilkan benang sutera yang paling dicari-cari.
Mereka ini pakar dalam penghasilan sutera mulberi berkualiti tinggi - cukup terkenal sebagai sutera Bengal atau sutera Rajshahi - dihasilkan oleh larva rama-rama yang diberi makan daun mulberi segar dan digunakan untuk membuat pakaian mewah.
Selepas sekitar 40 hari, larva-larva ini akan bertukar menjadi kepompong dan diletakkan di dalam rangka buluh sebelum dituai.
Kepompong ini seterusnya direbus di dalam air panas untuk mematikan larva di dalamnya dan memisahkan benang-benang sangat halus yang kemudiannya dijadikan gegelung lalu digantung sehingga kering.
“Setiap kepompong mengandungi sekitar 500 meter (1,600 kaki) benang nipis,” kata Akhi Akter, penyelia di kilang sutera Sopura yang merupakan antara pengeluar sutera utama di Bangladesh.
Selepas kering, benang-benang ini akan dihantar ke kilang untuk dijalinkan bersama benang-benang lain dan dijadikan kain.
Kain ini kemudian direbus, dibasuh dan dililin sbelum dihatar ke tukang-tukang jahit untuk dijadikan sari dan “dupattas”, iaitu sejenis selendang.
Industri sutera Bangladesh merudum pada 1990-an dan 2000-an, yang dikatakan berpunca dari kegagalan polisi kerajaan yang menyebabkan lambakan sutera murah dari China.
Tetapi negara itu kini memulakan pelan bernilai jutaan dolar untuk menggiatkan semula industri tersebut lantas mencipta ratusan ribu peluang pekerjaan.
Dengan pertumbuhan ekonomi Bangladesh - berkembang lebih 7.5 peratus tahun lepas - permintaan terhadap sutera Rajshahi meningkat berkali ganda, kata Akter.
Di pasaran tempatan, sari yang diperbuat daripada sutera Rajshahi berkualiti sederhana kini mencapai harga BDT$100 dan BDT$250 bagi barangan diperbuat daripada sutera berkualiti tinggi. – AFP, 4 Oktober, 2018.
Komen