SEORANG hakim persekutuan Amerika Syarikat di California melarang pentadbiran melaksanakan satu pelan bagi menghentikan perlindungan sementara kepada lebih 300,000 pendatang di negara itu dari El Salvador, Haiti, Nicaragua dan Sudan.
Hakim Daerah Edward M. Chen telah mengeluarkan perintah awal itu dalam saman oleh sejumlah pendatang yang memiliki status perlindungan sementara, atau TPS.
Penentuan TPS menawarkan perlindungan daripada langkah deportasi kepada pendatang yang sudah berada di Amerika Syarikat, termasuk mereka yang masuk secara haram, dari negara-negara terjejas oleh bencana alam, konflik sivil dan masalah lain.
Dalam penghakimannya, Chen berkata kerajaan gagal mengemukakan keterangan bahawa terdapat sebarang kemudaratan nyata jika “status quo” (yang telah wujud selama dua dekad) dikekalkan sepanjang tempoh penangguhan litigasi ini.”
“Sebaliknya, plaintif dan amicus curiae (sahabat mahkamah) telah mewujudkan tanpa pertikaian bahawa ekonomi tempatan serta nasional akan terjejas jika ratusan ribu penerima manfaat TPS disingkir,” katanya.
Terdapat lebih 263,000 pendatang yang menerima manfaat TPS dari El Salvador, 58,000 dari Haiti, 5,000 dari Nicaragua dan 1,000 dari Sudan, menurut dokumen mahkamah.
Pentadbiran Trump telah memperlihatkan keraguan yang mendalam terhadap program perlindungan sementara dan mengambil langkah untuk membatalkan status khas yang diberikan kepada ribuan imigran dari sejumlah negara, termasuk empat yang dinamakan dalam saman itu.
Pendatang dari El Salvador yang dilindungi TPS akan kehilangan status mereka pada September 2019, dari Haiti pada Julai 2019, Nicaragua pada Januari 2019 dan Sudan pada November 2019. – Bernama, 4 Oktober, 2018.
Komen