KETUA Pendakwaraya, Sulaiman Abdullah gagal menunjukkan surat pelantikkan (fiat) daripada Peguam Negara Tommy Thomas untuk mengendalikan kes jenayah dan rasuah bekas perdana menteri Najib Razak.
Peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah berkata dalam prosiding kes hari ini, Sulaiman memaklumkan kepada mahkamah fiat tersebut diklasifikasikan sebagai rahsia rasmi oleh peguam negara.
“Kita minta salinan surat pelantikan, fiat daripada peguam negara. Mereka perlu beritahu dan tunjuk fiat itu sebagai bukti mereka dilantik. Dan mahkamah boleh iktiraf mereka dilantik secara sah oleh peguam negara.
“Tetapi Sulaiman hari ini bangun dan tegaskan ia di bawah rahsia rasmi. Boleh kamu bayangkan? Ini Malaysia Baru katanya. Malaysia Baru sepatutnya lebih telus.
“Adakah masuk akal surat pelantikan pendakwaraya menjadi rahsia rasmi. Ini hanya fiat,” katanya dalam sidang media di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.
Najib berdepan 25 pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Wang Haram (Amla) 2001.
Kes disebut di depan hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali.
Pengurusan kes terhadap Najib hari ini tidak dapat diteruskan apabila pasukan peguambela hanya dapat membaca sebahagian daripada dokumen yang dibekalkan oleh pendakwaraya dalam format CD-Rom (cakera padat).
Shafee berkata pihak sudah mencetak semula dokumen tersebut malangnya terdapat sebahagian daripada dokumen tersebut tidak dapat dibaca selain keadaan dokumen yang tidak tersusun tanpa sebarang indeks.
Pengurusan kes dijadualkan semula pada 31 Oktober depan. – 4 Oktober, 2018.
Komen