Dokumen kes Najib tidak lengkap, mahkamah tangguh bulan depan


SM Amin

Bekas perdana menteri Najib Razak meninggalkan mahkamah selepas pengurusan kesnya di Kuala Lumpur, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 4 Oktober, 2018.

PENGURUSAN kes tujuh pertuduhan jenayah terhadap Najib Razak tidak dapat diteruskan hari ini apabila pasukan peguambela hanya dapat membaca sebahagian daripada dokumen yang dibekalkan oleh pihak pendakwaan dalam format cakera padat (CD-rom).

Peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah berkata pihaknya sudah mencetak semula dokumen tersebut malangnya terdapat sebahagian daripadanya yang tidak dapat dibaca.

Keadaan dokumen itu juga tidak tersusun tanpa sebarang indeks, tambahnya.

“Lebih malang lagi pihak pendakwaan beritahu apa yang diberikan bukan keseluruhan dokumen, akan ada lagi dokumen yang akan diberikan,” katanya dalam sidang media di luar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Menurut Shafee, pihaknya hari ini sekali lagi membuat aduan berkaitan segala tindakan pihak pendakwaan yang berjanji akan memberikan dokumen dalam masa dua minggu.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menetapkan 31 Oktober untuk sebutan semula, katanya.

Jelasnya, tindakan pendakwaraya ini menjejaskan pihaknya untuk menyediakan hujah pembelaan kerana tarikh perbicaraan telah ditetapkan pada Februari 2019.

“Jika perkara ini boleh berlaku terhadap orang seperti Najib, bayangkan apa yang boleh berlaku terhadap rakyat apabila selepas dituduh, pihak peguambela tidak dibekalkan dengan dokumen untuk membela tertuduh.

Dalam pertuduhan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 4 Julai lalu, Shafee meminta pasukan pendakwaan yang diketuai oleh Peguam Negara, Tommy Tho­mas menyerahkan dokumen berkaitan kes anak guamnya kepada pihak pembelaan sebelum pengurusan kes pada 8 Ogos lalu.

Bagaimanapun pihak pendakwaraya hanya memberikan dokumen pertuduhan sebulan selepas dalam bentuk CD-Rom setelah diminta sebanyak tiga kali oleh Shafee.

“Kita sudah minta, dua kali kita tulis surat termasuk dalam mahkamah terbuka, tiga kali kita minta, baru hari ini mereka bagi dokumen yang kita minta berminggu-minggu.

“Dokumen baru bagi hari ini, itupun dalam CD-Rom (cakera padat), dia (pendakwaraya) tidak print, dia kata semuanya dalam ini. Dia tidak bersedia langsung, dia tidak bagi dokumen yang fizikal,” katanya. – 4 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen