Penulis Billion Dollar Whale 'tidak konsisten, keliru', kata peguam Najib


Christopher Rabin

Bekas perdana menteri Najib Razak hadir di mahkamah Kuala Lumpur hari ini bagi pengurusan kes. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 4 Oktober, 2018.

NAJIB Razak menyedari wang yang dikreditkan ke dalam akaunnya tetapi tidak mengetahui ia didakwa sebagai dana haram, kata bekas peguam perdana menteri Muhammad Shafee Abdullah hari ini, merujuk kepada “derma” RM2.6 bilion.

Shafee kemudian mengecam penulis buku “Billion Dollar Whale” kerana bersikap “tidak konsisten” dan “keliru”.

Buku laris di pasaran mengenai skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) itu ditulis oleh wartawan The Wall Street Journal, Tom Wright dan Bradley Hope.

“Saya tidak faham apa yang mereka katakan. Di kebanyakan bahagian buku tersebut, mereka mengesahkan Najib diperdayakan oleh Jho Low (jutawan dari Pulau Pinang Low Taek Jho) dan hubungan dengan beberapa orang Arab.

“Di bahagian lain (mereka) membuat kesimpulan Najib tahu mengenai dana haram. Saya tidak faham apa yang dimaksudkan dengan itu,” kata Shafee kepada pemberita di luar Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini susulan Najib hadir di mahkamah bagi pengurusan kesnya berhubung dakwaan menerima wang secara haram daripada SRC INternational, bekas anak syarikat 1MDB.

“Jika anda bertanya kepada saya, adakah Najib mengetahui wang yang masuk ke dalam akaunnya? Sudah tentu beliau tahu.

“Pengarang ini, bukan peguam. Mereka tidak faham bahawa Najib tidak mengatakan beliau tidak tahu wang itu masuk ke akaunnya.

“Apa yang dikatakan Najib ialah, beliau tidak tahu wang yang masuk adalah daripada hasil yang haram. Ini satu perbezaan yang besar,” kata Shafee.

Shafee juga bersetuju pemeriksaan balas terhadap Low jika ahli perniagaan itu hadir semasa perbicaraan.

“Saya harap Jho Low muncul supaya kita dapat kebenaran,” Shafee memberitahu pemberita di luar bangunan Mahkamah Sesyen Kuala Lumur hari ini.

“Kami ada terlalu banyak dokumen tetapi kami perlukan bukti dari individu untuk memberi konteks kepada dokumen-dokumen ini,” katanya berhubung perbicaraan salah guna dana 1MDB.

“Sekiranya Jho Low ada di sini, beliau perlu dipanggil sebagai saksi. Saya mahu menyoal balas beliau,” tambah Shafee.

Najib berada di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini bagi pengurusan kes pertamanya berkenaan RM42 juta yang dimasukkan ke dalam akaunnya oleh SRC International.  – 4 Oktober, 2018.

 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen