ARAB Saudi berkata pada Khamis, ia sedang menyiasat “kehilangan” Jamal Khashoggi, seorang wartawan yang kritikal terhadap kerajaan di Riyadh yang hilang di Istanbul.
Khashoggi, bekas penasihat kerajaan Arab Saudi yang memutuskan hidup dalam buangan di Amerika Syarikat tahun lalu untuk mengelak ditangkap, dilaporkan hilang oleh tunangnya selepas beliau memasuki konsulat negaranya di Turki lebih 24 jam lalu dan tidak muncul lagi.
“Konsulat kerajaan Arab Saudi di Istanbul ... mengesahkan ia menjalankan prosedur susulan dan penyelarasan dengan pihak berkuasa tempatan Turki untuk membongkar kehilangan Jamal Khashoggi setelah beliau meninggalkan pejabat konsulat,” menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh agensi berita SPA yang dikendalikan oleh Arab Saudi.
Pegawai AS pada Rabu berkata mereka sedang meneliti kes itu, ketika jurucakap presiden Turki berkata Khashoggi memasuki konsulat Arab Saudi tetapi tidak meninggalkannya.
“Menurut maklumat yang kami ada, individu ini yang merupakan warga Arab Saudi masih berada di konsulat Arab Saudi di Istanbul,” kata jurucakap presiden Ibrahim Kalin kepada wartawan di Ankara.
Khashoggi belum dilihat sejak kali terakhir memasuki bangunan konsulat Arab Saudi pada Selasa di mana beliau akan menerima dokumen rasmi perkahwinannya.
Wartawan, yang menulis ruangan pendapat untuk Washington Post, mengkritik beberapa dasar dilakukan Putera Mahkota Arab Saudi Putera Mohammed bin Salman, dan campur tangan Riyadh dalam perang di Yaman.
Tunang Khashoggi seorang warga Turki, Hatice memberitahu AFP beliau tidak menerima sebarang berita daripadanya sejak pukul 1 petang (1000 GMT) Selasa “ketika beliau berdiri berhampiran halangan di luar konsulat Arab Saudi pada Rabu”.
Beliau berkata Khashoggi menyerahkan telefon bimbit miliknya kepada beliau. – AFP, 4 Oktober, 2018.
Komen