SETIAUSAHA Luar Britain, Jeremy Hunt pada Khamis menuduh perisik tentera Rusia menjalankan kempen serangan dalam talian yang disifatkan sebagai “sembarangan dan melulu” menyasarkan institusi politik, perniagaan, media dan badan sukan di seluruh dunia.
Pusat Keselamatan Siber Nasional Britain (NCSC) mengenal pasti operasi daripada badan GRU Rusia menjadi dalang pelbagai serangan komputer berprofil tinggi, menurut Pejabat Kementerian Luar.
Kebanyakannya dikaitkan dengan Moscow, termasuk serangan ransomware “BadRabbit” pada 2017 yang menyasarkan premis media Rusia dan lapangan terbang antarabangsanya, dan cubaan menggodam Agensi Antidadah Dunia di Switzerland tahun lalu.
“Corak kelakuan ini menunjukkan keinginan mereka untuk beroperasi tanpa mempedulikan undang-undang dan norma antarabangsa dan berbuat demikian tanpa mempedulikan akibatnya,” kata Hunt dalam satu kenyataan.
“Mesej kami jelas: bersama dengan sekutu kami, kami akan mendedahkan dan bertindak balas terhadap cubaan GRU untuk melemahkan kestabilan antarabangsa.”
NCSC yakin GRU bertanggungjawab terhadap serangan pada 2017, dan juga beberapa serangan lain termasuk menyasarkan Parti Demokratik Amerika Syarikat menjelang pilihan raya presiden pada 2016, menurut sumber Rumah Putih.
Kerajaan British menyatakan Kremlin bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kempen siber, kata mereka.
Pejabat Kementerian Luar itu menyifatkan “pelanggaran undang-undang antarabangsa” itu menyebabkan kerugian berjuta-juta pound.
“Serangan siber ini disahkan tiada kepentingan keselamatan negara, sebaliknya memberi impak kepada kemampuan masyarakat di seluruh dunia untuk menjalani kehidupan harian yang bebas daripada gangguan, malah ia turut menjejaskan kemampuan mereka untuk menikmati sukan,” tambah Hunt.
“Tindakan GRU adalah melulu dan sembarangan: mereka cuba melemahkan dan mengganggu pilihan raya negara lain; mereka turut cuba merosakkan syarikat dan rakyat di Rusia.”
Penggodam yang dikenali sebagai operasi GRU oleh NCSC termasuk entiti yang digelar “APT28”, “Pawn Storm”, “Sandworm”, “Fancy Bear” dan “Sofacy Group”.
Jabatan Keadilan di Amerika Syarikat sebelum ini menyalahkan kumpulan berkenaan kerana menjalankan banyak operasi menggodam di negara itu dan di seluruh dunia. – AFP, 4 Oktober, 2018
Komen