PEMBERONTAK Houthi hari ini membebaskan dua anak lelaki bekas presiden Yaman Ali Abdullah Saleh, selepas 10 bulan kedua-dua mereka ditahan susulan pembunuhan bapa mereka.
Salah dan Medyen Saleh diberikan pengampunan oleh Mehdi Musha, ketua majlis agung politik Houthi dan dibebaskan serta-merta, lapor agensi berita Saba.
Bagaimanapun tiada butiran lanjut diberikan.
Beberapa sumber politik yang rapat dengan bekas presiden Yaman itu berkata kerajaan Oman yang bersikap nuetral dalam peperangan di Yaman, memainkan peranan penting dalam pembebasan anak Ali.
Salah dan Medyen dibawa ke Lapangan Terbang Antarabangsa Sanaa hari ini dan dijangka berlepas ke Jordan menggunakan pesawat yang disewa khas oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Lapangan terbang itu yang dikawal oleh pemberontak, ditutup selama beberapa tahun selepas Arab Saudi dan sekutunya dari tentera prokerajaan mengawal ruang udara Yaman.
Ali dibunuh ketika cuba melarikan diri selepas pemberontak Houthi yang melancarkan serangan ke kediamannya pada Disember 2017.
Puak pemberontak dipercayai masih menahan beberapa ahli keluarga Ali selepas menawan Sanaa pada September 2014, sekali gus mencetuskan konflik berdarah di Yaman. – AFP, 3 Oktober, 2018.
Komen