Ahli Parlimen bukan Islam BN diselar kerana hanya berdiam diri


Desmond Davidson

PEMIMPIN pembangkang Sarawak menyelar sebahagian pemimpin bukan Islam Barisan Nasional berikutan keputusan kerajaan menarik klausa rang undang-undang untuk meminda Akta Pembaharuan Undang-Undang (Perkahwinan&Perceraian) yang menghalang penukaran agama kanak-kanak bawah umur.

Pemimpin PKR dan DAP turut mempersoalkan pemimpin parti komponen BN Sabah dan Sarawak dan mereka dalam MCA, MIC dan Gerakan di semenanjung sama ada terdapat rundingan berhubung perkara itu.

“Mengapa kamu terus mengkhianati ahli parti sendiri dengan terus menyokong kerajaan Umno Barisan Nasional yang tidak menghormati hak agama dan kaum lain,” kata ketua PKR Sarawak, Baru Bian.

“Bagaimana kamu tergamak untuk terus menyokong kerajaan?”

Baru berkata, penarikan rang undang-undang itu yang dibuat Menteri di Jabatan Perdana Menteri Azalina Othman Said semalam sebelum bacaan kali kedua untuk menggugurkan Klausa 88A, merupakan “tamparan terhadap masyarakat bukan Islam”.

Klausa 88A menyatakan agama anak terlibat kekal biarpun salah seorang atau kedua-dua ibu bapanya memeluk agama lain, adalah tambahan baru kepada pindaan itu.

“Ramai yang mengharapkan rang undang-undang ini akan menamatkan pertukaran agama kanak-kanak bawah umur kepada Islam, tapi BN masih tiada pendirian terhadap rang undang-undang ini.

“Menteri Azalina Othman Said dilaporkan menatakan harapannya dnegan perkembangan ini akan melihat perubahan positif untuk mengekalkan keharmonian masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama.

“Mana mungkin pendirian BN yang berubah di saat akhir membawa cahaya perubahan?” soal Baru.

 Ahli dewan undangan negeri Ba Kelalan itu berkata, berikutan rang undang-undang itu ditentang PAS dan beberapa kumpulan Islam lain, ini membuatkan kerajaan membuat  keputusan politik kerana bimbang hilang sokongan masyarakat Islam.

“Perubahan fikiran ini menunjukkan Perdana Menteri Najib Razak dipacu rasa takut kalah pada pilihan raya umum.

“Najib dan Umno  tidak mempunyai kepentingan untuk melindungi hak sama rata dan kebebasan beragama.”

DAP berkata sekiranya mereka kata tiada perbincangan diadakan, ia jelas menunjukkan parti komponen lain dan ahli Parlimen tunduk kepada kemahuan Umno–BN mengorbankan kehendak negeri dan kawasan mereka sendiri.

Jurucakap DAP, Kelvin Yii berkata ahli Parlimen BN bukan Islam speatutnya melindungi hak minoriti dan tidak membenarkan mereka ditindas.  – 8 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen