MENTERI Pertahanan Mohamad Sabu mengingatkan golongan anggota tentera bahawa calon Pakatan Harapan akan menjadi perdana menteri sekiranya dipilih sebagai ahli Parlimen Port Dickson.
Sekiranya Anwar dipilih dan menjadi perdana menteri, segala keluhan rakyat akan diselesaikan, katanya lagi dalam ucapan di Auditorium Muzium Tentera Darat di Port Dickson hari ini.
Walau tidak menyebut nama Anwar, ucapan itu jelas merujuk kepada presiden PKR itu yang turut muncul ketika majlis sedang berlangsung.
“Dengan peningkatan pendapatan negara yang cuba kita susun semula sekarang ini supaya Malaysia kembali cemerlang, tambahan pula ahli Parlimen kawasan ini (Anwar), kalau dipilih, bakal perdana menteri. Sudah tentulah segala bentuk keluhan dan kebangkitan akan diselesaikan.
“Kita tidak janji tempayan emas, kita tak dapat janji hati nyamuk tujuh talam. Kita tak dapat janji begitu rupa, tapi kita akan berusaha sekadar yang termampu. Ini yang akan kita usahakan dari masa ke semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia Persatuan Veteran Tentera Batalion ke-22 RAMD petang ini.
Anwar dilihat hadir ketika majlis penyampaian anugerah itu sedang berlangsung.

Ketika ditanya dalam sidang media selepas itu, Mohamad yang popular dengan nama jolokan Mat Sabu berkata kehadirannya bukanlah untuk berkempen bagi Anwar.
“Kami di PH tentu mahukan dia (Anwar) menang.
“Malam ini saya ceramah untuk dia,” katanya kepada pemberita apabila ditanya sama ada tujuannya ke sini berkempen untuk Anwar.
“Tak kempen,” katanya lagi.
Anwar yang berada di sebelahnya ketika itu mencelah: “Sini (majlis di sini) bukan pengundi. Mereka veteran tapi mereka bukan dari PD, mereka dari merata tempat.”
Tindak tanduk menteri dan ahli kerajaan Pakatan Harapan kali ini menjadi perhatian ekoran janji parti tersebut untuk tidak menyalahguna jentera kerajaan untuk berkempen.
Seramai 6,690 orang anggota tentera membentuk kira-kira 9% daripada 75,770 orang pengundi yang layak mengundi di kawasan Parlimen Port Dickson. – 3 Oktober, 2018.
MENYUSUL
Komen