Lori jadi ‘rumah’ mangsa gempa, tsunami Palu


Menurut Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia, jumlah mangsa korban gempa bumi dan tsunami di Sulawesi Tengah kini meningkat kepada 1,407 orang setakat 1 tengah hari ini. – Gambar EPA, 3 Oktober, 2018.

DEMI kelangsungan hidup, Latandra Lakarsa, 55, bersama anggota keluarganya terpaksa meninggalkan kediamannya di daerah Palupi, Kota Palu dan menjadikan sebuah lori sebagai “rumah” baharu mereka.

Lori usang berwarna jingga dan beratapkan kanvas itu dipenuhi barangan yang berjaya diselamatkan selepas gempa bermagnitud 7.5 skala Richter dan tsunami di Kota Palu pada Jumaat lepas.

Tinjauan Bernama mendapati lori satu tan itu agak sempit dan tidak selesa untuk dihuni 11 anggota keluarganya termasuk tiga kanak-kanak.

“Saya tiada pilihan lain, tinggal lori ini sahaja kami harapkan untuk berteduh… bagaimanapun, saya bersyukur kerana kesemua anggota keluarga saya iaitu isteri, empat anak lelaki, dua menantu serta tiga cucu saya selamat,” katanya ketika ditemui Bernama di Masjid Nurul Iman Bungi di Pinrang, kira-kira 98 km dari Daerah Mamuju, Sulawesi Barat. 

Menceritakan situasi cemas yang menimpa keluarganya, Latandra berkata pada hari kejadian, air naik secara tiba-tiba menyebabkan ramai yang berada di persisiran pantai tidak sempat melarikan diri.

“Kawasan kami agak tinggi sedikit, jadi impak tsunami itu tidak kena, namun, bahagian depan dan tepi rumah saya tetap rosak teruk kerana kegelinciran tanah.

“Tsunami itu sendiri meninggalkan kesan mendalam buat masyarakat setempat apabila melihat orang yang kita kenal seperti jiran dan rakan telah menjadi ‘kaku’ dan bergelimpangan di semua kawasan,” katanya.

Menurutnya, keadaan menjadi bertambah rumit apabila bantuan keperluan asas seperti makanan dan perubatan tidak dapat dihantar akibat beberapa jalan utama terjejas dan rosak teruk.

“Walaupun setelah 48 jam berlaku bencana, namun, bantuan masih tidak sampai… ini yang menyebabkan masyarakat yang kelaparan bertindak agrasif dengan memecah kedai dan sebagainya.

“Pada mulanya memang kami ingin terus tinggal di Kota Palu dan membantu jiran yang lain menguruskan sisa bangunan dan mayat, namun bila memikirkan soal keselamatan keluarga lebih baik saya meninggalkan tempat ini (Kota Palu),” katanya yang telah dua hari meninggalkan Kota Palu untuk ke wilayah Wajo di daerah Belawa, Selatan Sulawesi.

Latandra berkata keluarganya akan kembali ke Kota Palu setelah keadaan kembali seperti sedia kala. 

Menurut Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia, jumlah mangsa korban gempa bumi dan tsunami di Sulawesi Tengah kini meningkat kepada 1,407 orang setakat 1 tengah hari ini. – Bernama, 3 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen