MAHKAMAH tertinggi PBB hari ini mengarahkan Amerika Syarikat menarik balik sekatan barangan “kemanusian” yang dikenakan kepada Iran oleh Presiden Donald Trump selepas menarik diri daripada perjanjian nuklear bersama Tehran.
Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) sebulat suara memutuskan yang Washington “perlu membatalkan apa sahaja kaedah yang dipilihnya susulan langkah diumumkan pada 8 Mei lalu bagi membolehkan eksport ubat-ubatan dan peralatan perubatan, makanan dan komoditi pertanian” serta alat ganti pesawat, kata Hakim Abdulqawi Ahmed Yusuf.
Mahkamah berkata sekatan kepada barangan “yang diperlukan usaha kemanusian boleh memberi kesan buruk kepada kesihatan dan kehidupan penduduk kawasan Iran.”
Sekatan AS terhadap alat ganti pesawat juga “berpotensi membahayakan keselamatan penerbangan awam di Iran dan penggunanya.”
Trump mengenakan sekatan pusingan pertama kepada Iran Ogos lalu selepas pada Mei menarik diri daripada perjanjian mengekang program nuklear Tehran, menimbulkan kemarahan sekutu Eropahnya. Sekatan pusingan kedua dijangka berlaku pada November.
ICJ mempunyai kuasa menyelesaikan konflik antara ahli PBB. Keputusan itu terpakai dan tidak boleh dirayu, tetapi badan dunia itu tidak mempunyai mekanisma untuk melaksanakannya. – AFP, 3 Oktober, 2018.
Komen