Thailand tutup pantai ‘The Beach’


Maya Bay yang terletak di Pulau Ko Phi Phi jadi terkenal selepas jadi lokasi filem dibintangi Leonardo DiCaprio pada 2000. – Gambar EPA, 3 Oktober, 2018.

PANTAI indah di Thailand yang jadi lokasi filem The Beach akan ditutup sehingga diberitahu kelak bagi membolehkan ekosistemnya pulih daripada lambakan pelancong, kata pegawai hari ini.

Arahan penutupan sementara pantai itu tamat hari ini.

Maya Bay yang terletak di Pulau Ko Phi Phi jadi terkenal selepas jadi lokasi filem dibintangi Leonardo DiCaprio pada 2000.

Ia pada mulanya ditutup selama empat bulan sejak Jun lepas kerana hakisan pantai dan pencemaran yang berlaku di kawasan itu selepas menerima kehadiran beribu-ribu pelancong setiap hari.

Tetapi, tinjauan di kawasan itu ketika penutupan sementara jelas membuktikan ia tidak mencukupi untuk memperbaiki ekosistemnya kerana kerosakan yang teruk.

“Kami menilai setiap bulan dan mendapati sistem ekosistem rosak teruk kerana pelancong seramai 5,000 orang sehari,” kata Pengarah Jabatan Taman Negara Songtam Suksawang kepada AFP.

“Sangat sukar untuk menyembuhkan dan memulihkannya kerana pantai dan tumbuh-tumbuhan di situ musnah sepenuhnya,” katanya menambah yang “mustahil” untuk pemulihan berlaku dalam tempoh ditetapkan.

Jabatan Taman Negara, Hidupan Liar dan Pemulihan Tanaman Thailand mengumumkan penutupan itu dengan pengisytiharan diraja dikeluarkan pada 1 Oktober.

Katanya, sekatan terhadap pelancong tidak akan dibatalkan sehingga ekosistem “pulih sepenuhnya”.

Selain hakisan pantai, ketibaan ramai pelancong juga menyebabkan kerosakan karang yang sudah terdedah kepada ancaman peningkatan air laut dan perubahan iklim.

Negara di rantau Asia Tenggara dari Filipina ke Indonesia mula menyedari masalah pelancongan pantai yang berlebihan seperti sisa plastik dan hakisan.

Presiden Filipina Rodrigo Duterte pada April mengumumkan penutupan enam bulan pantai tumpuan pelancong, Boracay.

Indonesia pula mengisytiharkan “darurat sampah” tahun lepas di Bali, selepas pulau pelancongan itu teruk dicemari sampah dalam lautnya. – AFP, 3 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen