PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) Donald Trump berkata raja Arab Saudi tidak akan mampu bertahan untuk ‘tempoh dua minggu’ tanpa bantuan ketenteraan AS.
“Kita melindungi Arab Saudi. Mereka mungkin kaya dan saya juga sukakan Raja Salman. Tetapi saya memberitahu beliau bahawa kita (AS) melindungi anda.
“Anda (Arab Saudi) mungkin tidak mampu bertahan bagi tempoh dua minggu tanpa kami dan anda perlu membayar untuk khidmat ketenteraan tersebut,” katanya ketika menghadiri satu perhimpunan di Mississippi hari ini.
Menurut laporan portal Al Jazeera, Trump tidak menyatakan bila beliau membuat kenyataan itu kepada keluarga diraja Saudi tetapi ia dipercayai dibuat ketika peningkatan harga minyak di AS.
Arab Saudi merupakan pengeksport minyak terbesar dan blok pengeluar minyak OPEC dikritik Trump baru-baru ini kerana harga minyak yang tinggi.
Pada Sabtu Trump meminta Raja Salman untuk berbincang mengenai usaha mengekalkan bekalan minyak bagi memastikan kestabilan pasaran minyak dan pertumbuhan ekonomi dunia, lapor agensi berita Saudi, SPA.
Putera Saudi Mohammed bin Salman dilapor mengadakan perbincangan dengan Emir Kuwait Sheikh Sabah al-Ahmad al-Jaber al-Sabah bagi meningkatkan pengeluaran minyak.
Tiada perkembangan lanjut mengenai pertemuan itu tetapi media melaporkan krisis di Teluk juga menjadi agenda perbincangan tersebut. – 3 Oktober, 2018.
Komen