Polis soal Najib mengenai rampasan barangan mewah, 1MDB


Alfian Z.M. Tahir

Bekas perdana menteri Najib Razak disoal selama tiga jam berhubung rampasan barangan mewah dan skandal 1MDB. – Gambar EPA, 3 Oktober, 2018.

NAJIB Razak disoal selama kira-kira tiga jam dalam siasatan berhubung barangan mewah yang dirampas dari beberapa premis yang dikaitkan dengan beliau dan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata sumber Jabatan Siasatan dan Jenayah Komersial (JSJK).

“Dalam sesi (siasatan) hari ini, beliau disoal mengenai barangan mewah yang ditemui dan dirampas daripada premis terbabit termasuk bagaimana barangan itu diperolehi.

“Beliau turut ditanya tentang skandal 1MDB,” kata sumber itu.

Bekas perdana menteri itu tiba di JJSK kira-kira pukul 10 pagi dan difahamkan beliau meninggalkan bangunan itu pukul 1 petang.  

Beliau memasuki bangunan menggunakan laluan tempat letak kereta dan melalui jalan yang sama apabila meninggalkan bangunan tersebut bagi mengelak daripada bertemu wartawan dan jurugambar.

Pengarah JSJK Amar Singh baru-baru ini berkata bahawa Najib akan dipanggil sekali lagi untuk siasatan lanjut.

Amar berkata setakat ini polis telah merekodkan keterangan daripada lebih 70 individu berhubung siasatan kes 1MDB.

Ini merupakan kali ketiga bekas presiden Umno itu dipanggil JSJK untuk memberi keterangan berhubung siasatan skandal 1MDB selepas beliau disoal pada 30 Ogos, 20 dan 27 September.

Ahli Majlis Tertinggi Umno Lokman Noor Adam bersama puluhan penyokong turut berada di ibu pejabat JSJK untuk memberi sokongan moral kepada ahli Parlimen Pekan itu. – 3 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen