SEORANG gengster yang melarikan diri dari penjara dengan bergaya ala filem Hollywood menggunakan helikopter, akhirnya ditahan di utara Perancis selepas tiga bulan, kata sumber.
Penjenayah itu, Redoine Faid ditangkap pada waktu malam di utara wilayah Oise di Paris bersama tiga lagi lelaki termasuk adik lelakinya, kata sumber, mengesahkan laporan media sebelum itu.
Pemburuan besar-besaran dilancarkan selepas Faid melarikan diri pada 1 Julai, di mana dua rakan subahatnya menggunakan senjata api dan bom asap untuk pecah masuk menerusi pintu dan melarikannya dengan helikopter yang siap sedia menunggu.
Faid, penjenayah yang beberapa kali disabitkan bersalah atas dakwaan rompakan bersenjata dipenjarakan di Reau, 50km di tenggara Paris.
Dua lelaki menyamar sebagai pelajar sekolah penerbangan, memaksa seorang pengajar helikopter yang diugut dengan pistol untuk menerbangkan mereka lari dari penjara.
Juruterbang yang ketakutan itu kemudian mendarat di gelanggang – satu-satunya bahagian di penjara itu yang tidak diletakkan dengan jaring anti helikopter. – AFP, 3 Oktober, 2018.
Komen