Wartawan veteran Arab Saudi 'hilang' di Turki


WARTAWAN veteran Arab Saudi yang lantang mengkritik kerajaan dipercayai hilang selepas mengunjungi konsulat negara itu di Istanbul semalam, lapor akhbar Washington Post.

Jamal Khashoggi yang menulis dalam kolum pendapat akhbar berkenaan tidak dilihat sejak memasuki konsulat tengah hari semalam, menurut tunangnya yang mengiringi beliau tetapi menunggu di luar sehingga pejabat itu ditutup.

Khashoggi, bekas penasihat kerajaan yang memutuskan hidup dalam buangan di Amerika Syarikat tahun lalu untuk mengelak ditangkap, mengkritik beberapa dasar dilakukan Putera Mahkota Arab Saudi Putera Mohammed bin Salman, dan campur tangan Riyadh dalam perang di Yaman.

“Kami tidak dapat menghubungi Jamal hari ini dan amat bimbang mengenai di mana beliau berada.

“Kami memantau rapi keadaan ini, cuba mendapatkan lebih banyak maklumat.

“Tidak adil dan keterlaluan jika beliau ditahan kerana kerjanya sebagai wartawan dan pengulas,” kata editor pendapat antarabangsa Washington Post, Eli Lopez dalam satu kenyataan.

Jabatan Negara AS berkata ia menyiasat perkara itu.

“Kami melihat laporan dan mahu mendapatkan lebih banyak maklumat ketika ini,” kata pegawai.

Dalam ruangan Global Opinions untuk akhbar itu September lalu, Khashoggi menulis:“Apabila saya bercakap mengenai ketakutan, ugutan, penangkapan dan tindakan memalukan golongan intelektual dan pemimpin agama yang berani menyatakan pandangan mereka, dan saya beritahu anda saya dari Arab Saudi, adakah anda terkejut?”. – AFP, 3 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen