EMPAT orang ditangkap kerana didakwa memecah masuk rumah beberapa orang selebriti termasuk penyanyi Rihanna dan bintang bola keranjang Yasiel Puig, umum polis Los Angeles hari ini.
Pihak berkuasa berkata mereka percaya suspek adalah sebahagian daripada rangkaian yang lebih besar khusus menjalankan aktiviti memecah masuk ke rumah atlet, pelakon dan pengeluar filem Hollywood untuk mencuri.
Rumah bintang bola keranjang LeBron James muncul dalam senarai kediaman yang disita polis bagi menentukan sasaran rompakan akan datang.
Rumah pelakon Viola Davis dan Matt Damon juga berada dalam senarai.
Suspek adalah tiga remaja, dua daripadanya berumur 19 tahun dan seorang lagi berusia 18 tahun, dan seorang ibu yang berusia 34 tahun.
“Selama beberapa bulan kebelakangan ini, Jabatan Polis Los Angeles menyedari akan adanya rangkaian pencuri kediaman yang menyasarkan pelakon, pengeluar, pemuzik dan atlet profesional yang tinggal di kawasan Los Angeles,” kata Lillian Carranza, ketua bahagian jenayah komersial LAPD kepada pemberita.
“Rumah-rumah mangsa dipilih berdasarkan hantaran media sosial dan jadual lawatan pemilik. Pencuri itu yakin tiada siapa penghuni rumah-rumah itu yang mengandungi barang-barang berharga yang mungkin mereka minat,” katanya.
Polis yang membuat tangkapan tersebut turut merampas dompet, jam tangan, barang kemas dan pistol.
Sejak dua tahun lalu rumah-rumah selebriti seperti Alanis Morissette, Nicki Minaj dan Emmy Rossum juga turut dipecah masuk.– AFP, 3 Oktober, 2018.
Komen