Mahukah pentadbir pendidikan dinilai orang bawahan?


CADANGAN supaya guru mungkin boleh menilai pentadbir bukanlah sesuatu yang berkelainan atau baru. Ia pernah disuarakan oleh pendidik sendiri tetapi didiamkan dan tidak dilayan kerana tentunya ia tidak dipersetujui oleh pentadbir dan rasanya tidak akan memihak dan menyebelahi mereka.

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik sebenarnya sendiri sedia maklum dan Kementerian Pendidikan pula dikatakan akan menilai cadangan untuk membolehkan pendidik menilai pentadbiran di peringkat sekolah sama ada melibatkan guru besar atau pengetua.

Cadangan semula beliau turut menyebut mengenai menilai prestasi dan kemampuan pentadbir pendidikan, termasuk guru besar, pengetua perlu ditambah dengan ketua unit, ketua jabatan, timbalan pengarah dan pengarah. Ia juga menyentuh aspek mekanisme dan sistem yang sesuai untuk melaksanakan cadangan ini agar kesannya terhadap pentadbiran sekolah akan lebih tersusun.

Kita semua sedia maklum mana-mana kementerian dan jabatan memang memerlukan semua kakitangan untuk memberi perkhidmatan yang terbaik. Pelbagai perubahan dalam sistem penilaian tahunan termasuklah Sistem Penilaian Bersepadu dijalankan.

Dalam konteks kakitangan kerajaan, pegawai yang dinilai sering tidak mendapat perhatian yang telus, jujur dan ikhlas dari pegawai yang menilai dan terpaksa menerima hakikat dan kenyataan yang diberikan oleh kumpulan yang menilai. Ini sudah berjalan sejak era perpaduan, “Bersih, Cekap dan Amanah” hinggalah era Harapan.

Sungguhpun pihak pentadbir bertanggungjawab menyediakan persekitaran yang penyayang dan bahagia sering pandangan dan pendapat dari pegawai yang dinilai jarang dihormati dan biasanya dibuang ke tepi.

Kita memang disarankan untuk patuh dan bekerjasama dalam segala aktiviti yang dijalankan. Kita sama-sama mempunyai peranan dan matlamat serta objektif yang ditetapkan namun sering dipaksa menerima dan mengikut pentadbiran satu hala.

Sama ada benar saranan bahawa pendapat, pandangan dan suara pegawai yang berkhidmat akan didengar atau dilayan masih lagi menjadi tanda tanya kerana sudah sekian lama tidak ada petunjuk positif yang ditunjuk dan dilaksanakan.

Memang benar keberkesanan dititikberatkan, mengenal pasti kebaikan dan kelemahan bagi tujuan penambahbaikan, tetapi bersediakah dan sudikah pihak pentadbir atau mereka yang bergelar ketua unit, ketua jabatan atau pengarah dinilai oleh “pegawai yang dinilai”.

Sudah pastinya mereka akan tidak bersetuju kerana mereka akan berkata “merekalah ketua, merekalah yang berkuasa, hanya mereka yang berhak bersuara”.

Dalam membuat penilaian terhadap pihak pentadbir, pastinya hasil penilaian yang diberikan terhadap mereka ini dengan pantas dan cepatnya akan diisi, namun serahan penilaian terhadap pihak pentadbir mestilah diberikan dan dinilai oleh jawatankuasa bebas dan berkecuali atau yang bukan dari institusi atau organisasi sendiri.

Ini untuk memastikan peluang untuk memberi maklum balas yang jujur, telus dan ikhlas dan tanpa takut atau dikenakan tindakan tindak balas.

Pegawai yang sering menjadi mangsa mungkin hanya mampu berdoa dan berharap pihak berkecuali akan mengambil kira dan memberi perhatian terhadap pandangan dan komen yang diberikan melalui proses penilaian yang dicadangkan.

 Penilaian maklum balas yang sedia ada sendiri masih lagi terperap dan tidak diambil tindakan dan perhatian oleh pihak institusi berkenaan. – 3 Oktober, 2018.

* Kheru Khek adalah seorang pendidik.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen