Masuk hari kelima, Indonesia berlumba masa cari mangsa terperangkap gempa


Anggota mencari dan mencari mangsa yang mungkin terselamat atau mayat mangsa di bawah runtuhan, ketika bencana gempa dan tsunami di Palu, Sulawesi masuk hari kelima. – Gambar EPA, 3 Oktober, 2018.

INDONESIA kini bergelut dengan masa untuk mencari dan menyelamat mangsa yang terperangkap masuk hari kelima dalam runtuhan akibat gempa bumi dan tsunami di pantai barat Sulawesi, lapor agensi media antarabangsa.

Angka korban gempa bumi berukuran 7.5 magnitud pada Jumaat lalu sudah melebihi 1,200 orang. Pihak berkuasa bagaimanapun menjangkakan jumlah kematian akan meningkat kerana belum mengambil kira keadaan di kawasan pedalaman yang sehingga ini masih tidak dapat ditembusi.

“Kita berharap angka korban tidak meningkat,” kata jurucakap agensi penanggulangan bencana, Sutopo Purwo Nugroho, seperti dipetik Reuters.

“Kita sedang meneruskan operasi menyelamat tetapi sekarang ini kita berkejar dengan masa.”

Presiden Joko Widodo pada Isnin membuka pintu republik itu untuk bantuan antarabangsa bagi menghadapi keadaan pasca bencana. Beliau juga semalam menggesa usaha mencari dan menyelamat dipertingkatkan dengan pesanan, semua yang dilaporkan hilang mesti dicari.

Misi bantuan kemanusiaan dari Malaysia yang digerakkan oleh Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) juga sudah berada di Sulawesi Tengah dan dijadual bergerak ke Palu hari ini.

Reuters juga melaporkan pasukan penyelamat sudah tiba di semua empat daerah yang paling teruk dilanda gempa bumi, yang keseluruhannya mempunyai jumlah penduduk 1.4 juta orang.

Indonesia yang terletak dalam Lingkaran Api Pasifik dalam tempoh dua bulan ini saja dilanda tiga gempa bumi besar. – Agensi, 3 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen