AMERIKA Syarikat, yang telah mengetatkan tekanan ke atas Iran, semalam mengeluarkan amaran baru setelah Paris menuduh agensi perisikan Tehran melakukan plot pengeboman.
“Perancis mengambil tindakan tegas terhadap plot keganasan Iran yang gagal di Paris - Tehran perlu tahu tindakan keterlaluan ini tidak akan ditoleransi,” ciap Majlis Keselamatan Negara Rumah Putih di Twitter.
Jurucakap Jabatan Negara Heather Nauert memberitahu pemberita insiden itu memperkuatkan lagi dakwaan bahawa Iran adalah “penaja utama pengganas di dunia.”
Perancis semalam mengatakan kerajaan membekukan aset kedua-dua suspek perisik Iran tersebut, ekoran plot mengebom sebuah perhimpunan tunjuk perasaan di Paris tiga bulan lalu.
Acara itu diadakan oleh kumpulan pembangkang bersenjata Mujahidin Rakyat Iran (MEK), yang dianggap Tehran sebagai kumpulan pengganas tetapi negara-negar Barat telah mengeluarkan kumpulan itu daripada senarai hitamnya.
Iran menafikan sebarang penglibatan, seperti seperti reaksi mereka pada bulan Julai lalu ketika MEK menuduh ia bertanggungjawab.
Insiden itu berlaku selepas Presiden AS Donald Trump keluar daripada perjanjian antarabangsa untuk membanteras program nuklear Iran, menentang sekutu termasuk Perancis yang mengatakan bahawa perjanjian itu sedang berjalan.
Pentadbiran Trump berikrar untuk mengurangkan pengaruh Iran dan mengkritik Eropah kerana berusaha menghindari sekatan AS terhadap urus niaga dengan Iran.
Para pegawai kerajaan Eropah, dan pentadbiran bekas presiden Barack Obama, menjelaskan kerajaan Iran terbahagi kepada beberapa bahagian dan berharap dapat memperkuat golongan moderat seperti Presiden Hassan Rouhani berdasarkan beberapa isu keselamatan dan pentabiran yang memusuhi dengan Barat.
AS menganggap Iran sebagai penaja terbesar keganasan kerana hubungannya dengan pelbagai kumpulan bersenjata, khususnya Hezbollah yang kuat di Lubnan dan Hamas di wilayah Palestin, serta rangkaian lain di Iraq dan Yaman. - AFP, 3 Oktober 2018.
Komen