PIHAK berkuasa semalam mendakwa empat ahli gerakan pelampau kulit putih yang mencetuskan keganasan dalam perhimpunan dan perarakan “Unite the Right” di Charlottesville, Virginia pada Ogos 2017 hingga menyebabkan kematian.
Dalam perhimpunan itu, seorang lelaki memandu kereta dan merempuh ke arah orang ramai yang membuat bantahan balas, menyebabkan seorang wanita terbunuh sementara 19 lagi cedera.
Presiden Donald Trump pada masa itu mengambil masa 48 jam sebelum memberi respons, dan beliau menyalahkan kedua-dua belah pihak, meskipun bukti jelas menunjukkan neo-Nazi menjadi punca utama keganasan berlaku.
Benjamin Daley, Michael Miselis, Thomas Gillen dan Cole White ditahan selepas dikenal pasti menerusi gambar dan video serangan terhadap penunjuk perasaan ketika perarakan itu, yang menyebabkan kecederaan serius.
Mereka ahli “Rise Above Movement” yang berpangkalan di California, di mana pendakwa raya menyifatkan gerakan itu sebagai pelampau kulit putih dan kumpulan anti Yahudi.
Keempat-empat tertuduh pergi ke Charlottesville untuk menggalakkan, mempromosi, mencetuskan dan turut serta dalam tindakan keganasan hingga menyebabkan rusuhan, menurut aduan jenayah yang difailkan di mahkamah persekutuan Charlottesville.
Setiap seorang dikenakan pelbagai pertuduhan termasuk menghasut untuk merusuh, di mana Cullen berkata kesalahan itu membawa hukuman penjara 10 tahun. – AFP, 3 Oktober, 2018.
Komen