Polis tangkap, siasat penjarah di Palu


Seorang lelaki kelihatan membawa barang yang diambil dari sebuah pusat beli-belah di Palu, selepas bandar itu dilanda tsunami dan gempa bumi sejak Jumaat lalu. – Gambar AFP, 3 Oktober, 2018.

POLIS Indonesia memberi jaminan untuk mengetatkan kawalan insiden kecurian dilakukan oleh mangsa terselamat dalam insiden gempa bumi dan tsunami yang mengambil kesempatan atas situasi huru-hara itu ketika lebih 1,200 orang dipercayai maut dalam bencana melanda Sulawesi, Indonesia Jumaat lalu.

Satu laporan menyebut pegawai polis melepaskan tembakan amaran dan gas pemedih mata untuk menghalang orang ramai menggeledah kedai di Palu, bandar tepi pantai yang musnah akibat gempa bumi berskala 7.5 magnitud dan tsunami.

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) berkata hampir 200,000 orang terdesak memerlukan bantuan dan ia termasuk puluhan ribu kanak-kanak.

Mangsa terselamat bergelut menahan lapar dan dahaga berikutan kekurangan bekalan makanan dan air bersih, manakala hospital tempatan dibanjiri mangsa yang cedera.

Polis sebelum ini mengambil sikap toleransi terhadap mangsa yang terdesak mengambil makanan dan minuman daripada kedai yang ditutup, tetapi kini menahan berpuluh orang yang mencuri komputer dan wang tunai.

“Pada hari pertama dan kedua, jelasnya tiada kedai dibuka. Orang ramai kelaparan. Mereka amat terdesak. Itu bukan masalahnya.

“Namun selepas hari kedua, bekalan makanan mula masuk, ia hanya perlu diagihkan. Kami kini menguatkuasakan semula undang-undang. Ada ATM (mesin pengeluaran wang). Ia dibuka. Jika penduduk mencuri, kami tangkap dan siasat,” kata Timbalan Ketua Polis Nasional Ari Dono Sukmanto.

Walaupun dengan jaminan rasmi, keadaan terdesak dapat dilihat di mana-mana di Palu, di mana penduduk memanjat runtuhan untuk mendapatkan apa saja yang boleh diselamatkan.

Ada juga berkerumun di beberapa bangunan yang masih ada bekalan elektrik atau beratur mendapatkan air, wang atau petrol yang dibawa menggunakan konvoi polis bersenjata.

“Kerajaan, presiden datang ke sini, namun apa yang kami benar-benar perlukan adalah makanan dan air,” kata Burhanuddin Aid Masse, 48.

Barisan panjang mendapatkan beberapa liter petrol berlangsung lebih 24 jam di sesetengah tempat. Masalah sanitasi juga semakin menimbulkan masalah.

“Orang ramai di mana-mana mahu pergi ke tandas namun tiada tandas. Justeru kami melakukannya di sepanjang jalan pada waktu malam,” kata Armawati Yarmin, 50.

Angka rasmi kematian akibat tragedi di Sulawesi Tengah berjumlah 1,234 orang setakat ini. – AFP, 3 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen