HAMPIR separuh daripada kesemua 53 cawangan Umno di Port Dickson menyokong bekas ketua bahagian mereka, Isa Samad yang bertanding sebagai calon bebas kali ini, kata seorang pemimpin akar umbi.
Mereka menyatakan sokongan itu dengan membantu program penerangan seperti yang diadakan pada malam tadi bagi kempen bekas menteri besar Negeri Sembilan tersebut.
“Malam ini kita buka baju Umno, tiada Umno malam ini, kita bebas, sebab kita bantu calon kita, calon bebas, kita sokong bebas, bila Umno boikot pilihan raya, bermakna kita bebas.
“Kita bukan lawan Umno, kita tak lawan Barisan Nasional, kita lawan PKR dengan PAS, itu nyata, kita nak tolong orang yang banyak berjasa pada kita,” katanya.
“Kalau parti nak ambil tindakan, silakan, tak patut kita yang sudah terima jasa Tan Sri Isa, kalau tidak banyak pun sedikit, membiarkan Tan Sri Isa,” kata ketua cawangan Umno itu.
Beliau berkata demikian ketika mengalu-alukan Isa dalam program ceramah kelompok anjurannya di Linggi, malam tadi.
Majoriti yang hadir dalam ceramah kelompok sekitar 40 orang itu adalah golongan wanita, yang dipercayai merupakan ahli sayap Wanita Umno.
“Saya beri jaminan, ini di hadapan saya adalah jentera kita di pusat daerah mengundi di kawasan kita,” kata pemimpin cawangan berkenaan yang tidak mahu namanya disebut.
Ketua cawangan berusia lingkungan 60 tahun itu turut memberi jaminan anak-anak buahnya di dalam cawangan Umno tersebut akan berkempen demi kemenangan Isa.
Ketika ditemui selepas itu, jelasnya beliau tidak mahu identitinya diketahui kerana Umno melarang ahli berkempen untuk mana-mana calon memandangkan parti itu memboikot PRK Port Dickson.
Keputusan itu juga menyebabkan Isa bertindak keluar Umno, dan bertanding sebagai calon bebas menggunakan logo kerusi.
“Daripada 53 ketua cawangan Umno di Port Dickson, ada dalam 23 hingga 25 ketua cawangan yang memang ‘totok’ sokongan kepada Tan Sri.
“Ada dalam 12 atau 13 ketua cawangan lagi yang ‘masih tidur’ (keliru), tapi mereka tak bantah Tan Sri pun (bertanding),” katanya.

Seorang lagi ketua cawangan yang ditemui The Malaysian Insight turut mendedahkan beliau melepaskan jawatan semata-mata mahu membantu Isa yang sudah 40 tahun berkhidmat di kawasan itu.
“Saya sudah hantar surat peletakan jawatan sebagai ketua cawangan kelmarin, bahagian nak terima atau tidak terpulang.
“Bukan apa, tak sedaplah kita ahli parti, ikut Tan Sri sana-sini, gambar keluar media tapi kita masih ahli Umno, tidak mengapa, kita lepas jawatan, daripada dipecat,” katanya.
Katanya, tindakan sama juga sedang dipertimbangkan beberapa pemimpin Umno cawangan, semata-mata mahu membantu kempen Isa.
Anak sulung Isa, Mohd Najib, 40, yang juga ketua Pemuda Umno Port Dickson turut membantu kempen bapanya itu secara terbuka.
Najib berkata beliau ditugaskan membantu kempen bapanya untuk mendapatkan sokongan daripada pengundi muda.
Golongan bekas ahli Umno di kawasan perkampungan Melayu ini menjadi sasaran Isa yang pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Linggi dan Bagan Pinang, dalam kawasan Parlimen Port Dickson.
Menurut ketua cawangan terbabit, beliau juga akan membantu Isa mendekati pengundi dengan mengadakan program persendirian, seperti majlis keraian atau perkahwinan.
Ini memandangkan pemimpin akar umbi tersebut tidak boleh menggunakan jentera Umno secara terbuka untuk mendekati pengundi.
“
Isa merupakan salah seorang daripada lima calon bebas yang akan menentang Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim mewakili Pakatan Harapan dalam pertandingan tujuh penjuru untuk PRK Parlimen Port Dickson.
PAS yang mengharapkan sokongan anggota tentera pula menurunkan calon daripada veteran tentera udara berpangkat leftenan kolonel, Mohd Nazari Mokhtar di Bandar Tentera Darat itu.
Hari pengundian ditetapkan pada 13 Oktober depan, dengan pengundian awal dijadualkan pada 9 Oktober.
Parlimen Port Dickson mempunyai seramai 75,770 pengundi berdaftar. Seramai 68,486 adalah pengundi biasa, manakala 6,690 anggota tentera, dan 578 pengundi lagi terdiri daripada anggota polis.
Pada PRU14, Danyal Balagopal Abdullah memenangi kerusi Parlimen tunggal PKR di Negeri Sembilan itu dengan 36,225 undi berbanding Barisan Nasional (BN) yang meletakkan calon MIC, Mogan Velayatham (18,515 undi), dan calon PAS Mahfuz Roslan (6,594 undi).
Danyal meletak jawatan pada bulan lalu untuk mengosongkan kerusi tersebut dan memberi laluan kepada Anwar untuk menjadi ahli Parlimen dan perdana menteri menggantikan Dr Mahathir Mohamad. – 3 Oktober, 2018.
Komen