Pengundi Port Dickson percaya Isa ancaman terbesar Anwar


Mohd Farhan Darwis

Penyokong memasang poster Isa Samad ketika calon PRK Port Dickson itu berkempen di satu kawasan di Port Dickson. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Oktober, 2018.

ISA Samad lebih berupaya memberi saingan kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim berbanding calon lain dalam merebut kerusi Parlimen Port Dickson, kata pengundi.

Kelebihan Isa sebagai anak jati Port Dickson, dan perkhidmatannya sebagai menteri besar selama 22 tahun, serta pengalaman politik hampir 40 tahun di kawasan itu dilihat menjadi faktor utama untuk pengundi menilainya.

Bagi pengundi dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Lukut, yang hanya mahu dikenali sebagai Wan, 43, Isa adalah ikon sebenar Port Dickson, berbanding Anwar yang menurutnya tidak menetap di kawasan tersebut.

“Isa sebagai ikon Port Dickson, sinonim sangat dekat sini, tidak patutlah kalau orang Port Dickson tidak mengundi beliau. Apa cikai sangat Port Dickson ini, takkan tidak ada pemimpin?

“Isa bukan baru di sini, kalau nak banding dengan Anwar, sampai bila beliau akan duduk di Port Dickson,” katanya kepada The Malaysian Insight ketika ditemui di Port Dickson malam tadi.

Isa berasal dan dibesarkan di Kampung Bagan Pinang. Beliau juga pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Linggi dan Adun Bagan Pinang, yang kedua-duanya dalam kawasan Parlimen Port Dickson.

Kedua-dua kawasan berkenaan juga dikatakan menjadi kubu kuat Isa, yang dilihat memberikan kelebihan kepadanya.

Wan berkata walaupun pernah dikaitkan dengan beberapa skandal, terutamanya membabitkan skandal Felda, tiada pendakwaan dikenakan terhadap Isa.

“Kalau kena panggil soal siasat itu tanda bersalah, ramai orang yang bersalah. Tapi kita lihat tiada pendakwaan dikenakan kepada Isa,” katanya.

Sesetengah penyokong percaya Isa Samad mampu memecahkan undi dalam pertandingan tujuh penjuru untuk PRK Parlimen Port Dickson. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Oktober, 2018.

Samsudin Sadri, 54, berkata, Isa juga mampu memecahkan undi, dalam pertandingan tujuh penjuru untuk PRK Parlimen Port Dickson.

“Isa pegang DUN Bagan Pinang dan Linggi, tapi tempat lain mungkin sukar untuk beliau menang. Kalau kata peluang, dia ada 30% untuk menang banding Anwar , calon PAS nombor tiga, calon bebas lagilah, mungkin hilang deposit,” katanya.

Menurutnya, warga Port Dickson masih mengenang budi Isa, tapi itu ketika bekas menteri tersebut masih berada dalam Umno.

“Sekarang dia dah jadi bebas kita tak tahulah, apa dia boleh buat kalau menang, begitu juga dengan PAS, ini bukan kerajaan,” kata ahli Persatuan Veteran Tentera Tidak Berpencen itu.

Isa mengambil keputusan keluar Umno dan bertanding PRK Port Dickson sebagai calon bebas selepas Umno mengambil pendirian memboikot PRK tersebut.

PAS pula meletakkan veteran TUDM berpangkat leftenan kolonel, Mohd Nazari Mokhtar untuk bertanding di Bandar Tentera Darat itu.

Abu Bakar Yatim, 66, berkata, masyarakat tempatan, terutamanya generasi seusianya amat mengenali Isa, malah mereka juga biasa memanggilnya dengan panggilan “Abang Seman”.

“Kalau banding dengan Abang Seman, PAS tak boleh lawan, tapi beliau ada banyak skandal yang terpalit, orang kampung memang kenal dengan beliau, tapi tak semua sokong,” katanya.

Abu Bakar bagaimanapun berkata, secara realiti kelebihan berpihak kepada calon Pakatan Harapan, Anwar kerana sebagai calon parti kerajaan, beliau mempunyai kelebihan dari segi kewangan.

“Kita baca masa depan, kalau bagi Isa atau PAS menang, apa mereka boleh buat, duit pun tiada.

“Berbanding Anwar, parti kerajaan, bakal perdana menteri, sudah pasti peruntukan ada, sedikit sebanyak Port Dickson akan mendapat kelebihan,” katanya.

Port Dickson juga tidak akan terus maju sekiranya mereka hanya taksub kepada satu-satu parti atau individu, tambahnya.

Sementara itu, seorang bekas Adun MCA, Foo Ming Chee berpendapat, Isa hanya akan mendapat kelebihan sekiranya peratusan keluar mengundi di PRK Parlimen Port Dickson adalah rendah.

Penyokong setia menanti kedatangan calon bebas PRK Port Dickson, Isa Samad pada satu program di Bagan Lalang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Oktober, 2018.

Trend itu mungkin berlarutan daripada tiga PRK di Selangor sebelum ini – di Dun Seri Setia, Sungai Kandis dan Balakong yang menyaksikan kurang dari 50% keluar mengundi.

Bekas Adun Chuah itu, 57, berpendapat peratusan keluar mengundi di Port Dickson mungkin rendah disebabkan protes daripada anak muda yang menolak pilihan raya kecil tersebut.

“Ada pemuda yang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 bersama Bersih sebelum ini rasa PRK ini membazir, seolah-olah suka hati mereka (kosongkan kerusi) bukan ikut saluran betul. 

“Ada yang protes tidak mahu mengundi dan itu mungkin beri kesan positif kepada Isa,” katanya.

PRK Parlimen Port Dickson dijadualkan berlangsung pada 13 Oktober depan, dengan pengundian awal akan dilaksanakan pada 9 Oktober.

Penyandang kerusi itu, Danyal Balagopal Abdullah mengosongkan kerusinya bagi memberi laluan kepada Anwar untuk membolehkannya menjadi perdana menteri kelapan menggantikan Dr Mahathir Mohamad.

Empat lagi lawan termasuk Saiful Bukhari Azlan, pengadu dalam kes Liwat II yang menyebabkan Anwar meringkuk di penjara selama lima tahun.

Turut bertanding adalah tiga calon Bebas, Lau Seck Yan, Stevie Chan dan Kan Chee Yuen. – 4 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen