Angkatan Bersenjata Filipina gagalkan plot bom di Manila


Kolonel Noel J Detoyato berkata tentera kerajaan menerima satu laporan bahawa seseorang telah merancang dan mengangkut bahan letupan. – Gambat EPA, 2 Oktober, 2018.

ANGKATAN Bersenjata Filipina (AFP) baru-baru ini telah menggagalkan satu plot pengeboman yang mungkin membunuh orang awam di selatan negara itu, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan seorang jurucakap tentera.

Mengesahkan perkara ini pada Selasa, Ketua Pejabat Hal Ehwal Awam AFP Kolonel Noel J Detoyato berkata tentera kerajaan di wilayah Maguindanao dari selatan Filipina menerima satu laporan bahawa seseorang telah merancang untuk mengangkut bahan letupan buatan sendiri (IED) bagi melancarkan satu serangan.

Pihak tentera kemudian bertindak menghentikan sebuah bas penumpang di pusat pemeriksaan di sebuah pekan bernama Datu Odin Sinsuat dari wilayah Maguindanao dan berjaya menemui bahan yang disyaki IED dalam bas itu pada pagi Isnin.

Detoyato berkata pasukan pelupusan ordinans letupan tentera segera bergegas ke lokasi itu.

AFP berkata berdasarkan sumbernya, kumpulan ekstremis Pejuang Kebebasan Islam Bangsamoro (BIFF) telah merancang untuk mengangkut IED itu dan menyerang Cotabato, sebuah bandar utama di selatan Filipina.

Carlito Galvez, Ketua Turus AFP, berkata pihak tentera akan terus mempertingkat kawalan di pusat pemeriksaan dan mempergiat operasi ke atas semua pengganas serta kumpulan ekstremis yang menimbulkan ancaman kepada Filipina.

Beliau turut menggesa rakyat Filipina agar sentiasa berwaspada.

BIFF turut dipersalah atas dua lagi serangan sejak dua bulan lepas yang meragut sekurang-kurangnya lima nyawa dan mencederakan lebih 40 orang di selatan Filipina.

BIFF telah menafikan dakwaan itu.– Bernama, 2 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen