Israel tahan 21 penduduk Palestin di Tebing Barat


Rejim Israel melancarkan kempen penangkapan setiap hari terhadap berpuluh-puluh penduduk Palestin di beberapa bandar dan kampung di Tebing Barat. – Gambar EPA, 2 Oktober, 2018.

TENTERA Israel pada awal Selasa telah menahan 21 penduduk Palestin di beberapa bandar di Tebing Barat, lapor agensi berita Jordan Petra memetik kenyataan sumber Palestin.

Kenyataan Persatuan Tahanan Palestin menyebut tentera Israel telah melakukan serbuan di bandar-bandar Tulkarem, Baitulmaqdis, Hebron serta Jenin, dan menahan 21 orang.

Tentera rejim itu telah melancarkan kempen penangkapan setiap hari terhadap berpuluh-puluh penduduk Palestin di beberapa bandar dan kampung di Tebing Barat dengan pelbagai alasan yang tidak munasabah, menurut kenyataan itu.

Tentera Israel pada Selasa turut menyerbu kampung Anza di selatan Jenin di mana berlakunya pertempuran antara golongan muda penduduk Palestin dan tentera rejim, yang melepaskan tembakan peluru hidup, peluru getah serta kanister gas pemedih mata, menyebabkan beberapa remaja cedera.– Bernama, 2 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen