Taufan kuat badai pulau utama di Jepun


Pokok tumbang akibat taufan Trami melanda Jepun, menyebabkan banyak jalan dan landasan kereta api terpaksa ditutup. – Gambar EPA, 2 Oktober, 2018.

TAUFAN kuat membadai pulau Honshu, Jepun sejak malam Ahad hingga pagi Isnin, mengorbankan empat nyawa setakat ini, lapor Jiji Press.

Trami, taufan ke-24 yang melanda Jepun tahun ini, berubah menjadi puting beliung luar tropika di pantai tenggara Hokkaido, utara Jepun, pada tengah hari waktu tempatan, Isnin.

Selepas mendarat berhampiran bandar Tanabe di wilayah barat Wakayama, Honshu kira-kira pukul 8 malam Ahad, taufan itu menuju ke wilayah timur Kanto dan timur laut Tohoku.

Menurut polis dan beberapa sumber lain, bencana tersebut turut mencetuskan kejadian tanah runtuh di Kotoura, Wilayah Tottori, barat Jepun, meragut nyawa seorang lelaki berusia 50 tahun.

Pada Isnin seorang lelaki berusia lingkungan 40-an, ditemui lemas di bandar Fujiyoshida di wilayah tengah Yamanashi.

Di Wilayah Miyazaki, seorang wanita warga emas dilaporkan hilang selepas terjatuh ke dalam saluran air.

Kira-kira 183,400 orang dipindahkan manakala 705,500 lagi menunggu arahan berpindah.

Sementara itu East Japan Railway Co. (JR East) dan syarikat kereta api lain di Tokyo, terpaksa menghentikan operasi sejak Ahad, bagaimanapun perkhidmatan dimulakan secara beransur-ansur mulai Isnin.

Syarikat Nippon Airways dan Japan Airlines masing-masing terpaksa membatalkan 125 dan 94 penerbangan menyebabkan 28,000 penumpang terjejas. – Bernama, 2 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen