Spesis baru burung kelicap dijumpai di Ecuador


Spesis baru burung kelicap Ecuador bernama Oreotrochilus cyanolaemus, atau bintang berleher biru diumumkan dalam sebuah jurnal berjudul The Auk: Ornithological Advances.– Gambar AFP, 2 Oktober, 2018.

SEBUAH kumpulan ornitologi di Ecuador mengenalpasti satu spesis baru burung kelicap.

Burung itu berwarna biru-hijau dan tinggal di kawasan tanah tinggi di samping diancam kepupusan.

Ketua kumpulan itu Francisco Sornoza melihat seekor burung tersebut melalui binocular tahun lepas dan mengagak ia adalah spesis burung yang tidak dikenali.

Burung yang berukuran 11 sentimeter panjang dan mempunyai leher biru dengan dada berwarna putih. Bulunya berwarna biru kehijauan dengan belang hitam dari kepala sehingga hujung badan.

Ia diberi nama  Oreotrochilus cyanolaemus, atau bintang berleher biru. Penemuan tersebut diumumkan pada Khamis dalam sebuah jurnal berjudul The Auk: Ornithological Advances.

Para pengkaji menganggarkan ada 300 ekor burung jenis itu dan habitat tempat tinggalnya sedang menyusut. Aktiviti perlombongan di kawasan terbabit dikatakan menjadi ancaman utama.

“Ia adalah spesis yang sangat terancam,” kata Sornoza, yang bekerja di Institut Biodiversiti Nasional.

Ecuador adalah negara kecil tetapi kaya dengan biodiversity. Antara lain, ia menjadi habitat 132 spesis burung kelicap.

Kesemua burung itu didokumentasi dengan teliti. Kerana itu penemuan baru sangat jarang direkod. Ini adalah kali pertama penemuan baru selepas 30 tahun, kata Sornoza. – AFP, 2 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen