KIRA-KIRA 200 anggota polis menyerbu ibu pejabat persatuan syiah Islam di utara Perancis dan rumah para pemimpinnya yang disyaki menyokong organisasi pengganas, kata sumber keselamatan.
Operasi terhadap Pusat Zahra Perancis di Grande Synthe, di pinggir bandar pelabuhan Dunkirk, dilakukan sebagai sebahagian daripada prosedur “pencegahan terhadap keganasan”, kata pihak berkuasa dalam satu kenyataan.
Sumber keselamatan berkata 11 orang ditahan, sementara pihak berkuasa Perancis turut membekukan aset kewangan pusat itu yang diketuai oleh Yahia Gouasmi, yang dikenali dengan pandangannya anti Zionis dan kaitannya dengan Iran.
Polis memantau rapat aktiviti di pusat Zahra kerana “sokongan kuat oleh pemimpinnya untuk beberapa organisasi pengganas dan berpihak kepada gerakan yang menyokong idea yang bertentangan dengan Perancis”.
Di laman webnya, persatuan itu berkata matlamatnya sejak penubuhan pada 2009 ialah “menyampaikan mesej Islam menerusi pandangan nabi dan keluarganya”.
Tidak jelas sama ada penahanan itu ada kaitan dengan suspek yang merancang pengeboman pada perhimpunan kumpulan pembangkang Iran di Perancis pada Jun. – AFP, 2 Oktober, 2018.
Komen