LAGU “Anak Kecil Main Api” tidak lagi menjadi pilihan Umno untuk menutup tirai Perhimpunan Agung Umno 2018. Kali ini Teman Sejati ciptaan kumpulan nasyid Brothers mendapat tempat bagi menaikkan semangat perwakilan untuk dibawa balik ke kawasan masing-masing.
Kehilangan kuasa di Putrajaya dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 yang lalu barangkali menyebabkan lagu Warisan ciptaan bekas Ketua Pengarah Biro Tatanegara, Nordin Kardi tidak lagi sesuai untuk dimainkan dalam PAU 2018.
Lagu Warisan ini amat sinonim dengan Umno sebagai peringatan kepada setiap pemimpin dan ahli parti supaya bermuhasabah diri bagi memastikan Umno kekal sebagai tunjang parti pemerintahan negara dalam meneruskan survival pemerintahan Melayu di negara ini.
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mungkin merasakan terdapat desakan yang kuat daripada pelbagai pihak yang mahukan beliau mengambil tindakan drastik untuk memulihkan parti.
Dalam ucapan dasar presiden, Zahid membentangkan tujuh teras dengan 21 langkah dalam menentukan hala tuju parti termasuk mengambil tindakan tegas terhadap wakil rakyat Umno yang keluar parti dan menjenamakan semula Barisan Nasional.
Meskipun hala tuju Umno telah disampaikan dalam ucapan panjang lebih dua jam itu, pimpinan seperti Khairy Jamaluddin dan ramai lagi di akar umbi merasakan ia tidak cukup jelas untuk mengukuhkan semula parti.
Malah sepanjang perbahasan berlangsung, majoriti perwakilan banyak merujuk kepada ucapan Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan ketika perasmian serentak Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno pada malam sebelumnya.
Bekas menteri besar Negeri Sembilan itu bertegas mahu parti melupakan sementara niat untuk kembali berkuasa dan fokus kepada usaha untuk mengembalikan kepercayaan orang Melayu.
Beliau turut meletakkan tempoh 10 tahun untuk Umno memulihkan semula parti dan bangkit semula untuk memperjuangkan bangsa Melayu.
Berbeza dengan Zahid yang seperti masih sukar untuk menerima hakikat bahawa parti itu perlu bermula daripada kosong, sebagaimana Umno bermula tanpa kuasa pada 1946.
Berdepan dengan pelbagai tekanan dari bawah sejak mengambil alih tugas sebagai Presiden Umno Jun lalu, Zahid mungkin merasakan lagu Teman Sejati yang sarat dengan nilai persahabatan lebih sesuai untuk dihayati oleh setiap perwakilan yang hadir sekaligus meredakan ketegangan dalam parti.
Selepas menjadi pembangkang pada 9 Mei lalu, Umno ditekan hebat oleh kerajaan Pakatan Harapan termasuk membekukan akaun parti yang menyukarkan Umno menjalankan operasi seperti biasa.
Situasi ini dapat dilihat dalam perhimpunan sepanjang tiga hari hujung minggu lalu. Suasana di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) kurang meriah dengan kehadiran pemerhati yang jauh lebih rendah disebabkan pimpinan tidak lagi mampu untuk menanggung kos mereka hadir ke PAU.
Kesusahan yang dialami oleh Umno turut dirasai oleh peniaga-peniaga yang mengeluh dengan hasil jualan yang tidak memberangsangkan seperti kelaziman.
Bagi peniaga kain songket Nik Kamariah Mustapha, 63, dari Kota Bharu, Kelantan yang sudah berniaga di PAU hampir 10 tahun, perwakilan yang hadir tidak lagi mewah seperti dahulu.
“Dahulu mereka ambil sahaja mana kain yang berkenan tanpa melihat berapa harga. Sekarang ini bila nak beli kain banyak yang minta tawar. Kadang minta tawar sampai tak balik modal. Makcik tak juallah.
“Nampaklah perwakilan kali ini tidak banyak duit. Ada barang dia berkenan tapi dia tawar habis-habis.
“Walaupun untung sikit pun kadang kita terima jugalah harga itu sebab jualan tidak banyak seperti sebelum ini. Kita pun nak dapatkan modal balik,” katanya ketika ditemui The Malaysian Insight.
Malah Kamariah tidak menolak kemungkinan pada masa akan datang, mungkin akan mempertimbangkan semula untuk berniaga di PAU disebabkan jualan yang tidak memberangsangkan berbanding dengan jualan sebelum ini yang boleh mencecah hampir RM100,000.
Bagi memulihkan kewangan parti, Umno telah melantik Bendahari Tengku Adnan Tengku Mansor untuk mendapatkan semula aset parti yang diwakili oleh penama yang ditunjukkan untuk mengurus syarikat-syarikat tersebut.
Walaupun Perhimpunan Agung Umno berjalan dengan lancar tanpa sekarang insiden seperti baling kerusi, hala tuju Umno masih samar dan Zahid masih bergelut dengan permasalahan dalaman. – 2 Oktober, 2018
* SM Amin seorang wartawan dengan The Malaysian Insight. E-mel: [email protected]
Komen