Sekolah tutup di Afrika Barat, guru mogok tidak dibayar gaji


Guru di Guinea-Bissau, salah sebuah negara termiskin di dunia, mengajar di sekolah dengan gaji mereka tidak dibayar oleh kerajaan. – Gambar EPA, 2 Oktober, 2018.

SEKOLAH menengah ditutup semalam di sekitar ibu kota Guinea-Bissau selepas tiga persatuan guru melancarkan mogok 30 hari, membantah gaji tidak berbayar dan keadaan kerja yang teruk di Afrika Barat itu.

Tindakan mogok itu digerakkan oleh Kesatuan Guru Nasional, Kesatuan Demokratik Guru dan Kesatuan Pendidikan Tinggi, menjejaskan beberapa sekolah menengah, tetapi sekolah rendah dibuka seperti biasa.

“Kami bersedia untuk memulakan kelas, tetapi guru tidak datang,” kata pengarah sekolah Antonio Agostinho Neto, Samuel Fernandes Manda.

Selama beberapa tahun, guru di Guinea-Bissau, salah sebuah negara termiskin di dunia, mendesak bayaran untuk gaji mereka yang tertunggak, pelan pembangunan kerjaya dan penambahbaikan dalam keadaan kerja mereka.

Selepas mogok dua minggu tahun lalu, guru menandatangani perjanjian dengan kerajaan untuk menyelaraskan skala gaji dengan Kesatuan Ekonomi dan Kewangan Afrika Barat, tetapi ahli kesatuan berkata perjanjian itu tidak dipatuhi.

“Kerajaan tidak menepati komitmennya, termasuk pembayaran gaji bagi guru sementara dan pelaksanaan pelan kerjaya. Kami tiada pilihan selain mogok,” kata Presiden sementara Kesatuan Guru Nasional Malam Cassama. – AFP, 2 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen