34 pelajar maut dalam gereja di Indonesia akibat gempa


Anggota penyelamat meredah timbunan runtuhan bangunan untuk mencari mangsa terselamat atau mayat susulan gempa bumi dan tsunami di Palu, Sulawesi, Indonesia. – Gambar EPA, 2 Oktober, 2018.

ANGGOTA penyelamat Indonesia menemui mayat 34 pelajar yang terbunuh dalam runtuhan gereja ketika tanah runtuh akibat gempa bumi di kepulauan Sulawesi, Jumaat lalu, kata pihak berkuasa.

“Sejumlah 34 mayat ditemui oleh pasukan itu,” kata jurucakap palang merah Indonesia Aulia Arriani, menambah bahawa 86 pelajar pada awalnya dilaporkan hilang daripada kem Bible di Pusat Latihan Gereja Jonooge di daerah Sigi Biromaru.

Arriani berkata pasukan penyelamat berdepan laluan sukar dengan jalan berlumpur untuk mendapatkan mangsa.

Sulawesi Tengah dalam keadaan teruk selepas gempa dan tsunami pada petang Jumaat lalu, membunuh sekurang-kurangnya 844 setakat ini. Tsunami besar menghempas tepian pantai bandar Palu, membadai bangunan, pokok, kenderaan dan orang ramai yang berada di tepi pantai.

Kebimbangan pada masa ini ialah jumlah kematian akan meningkat mendadak sebaik saja pasukan penyelamat tiba di kawasan terpencil.

Wilayah pergunungan Sigi Biromaru antara kawasan terpencil, di tenggara bandar Palu.

Indonesia adalah negara majoriti Islam tetapi masih ada masyarakat beragama Kristian di seluruh negara itu. – AFP, 2 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen