Cristiano Ronaldo nafi 'berita palsu' dakwaan rogol


Bintang bola sepak Juventus Cristiano Ronaldo menafikan dakwaan itu di Instagram sebelum memadam posting berkenaan.– Gambar EPA, 2 Oktober, 2018

POLIS pada Isnin membuka semula siasatan terhadap dakwaan oleh bekas model yang mengatakan dirinya diserang oleh bintang bola sepak Cristiano Ronaldo di Las Vegas pada 2009. 

Ronaldo, yang kini bermain untuk kelab Juventus dalam liga Serie A Itali, menolak dakwaan itu sebagai “berita palsu” di Instagram. 

“Apa yang mereka kata hari ini, palsu—berita palsu,” kata bintang bola sepak berusia 33 tahun itu yang kemudian memadam posting berkenaan. 

Kathryn Mayorga, 34 dari Las Vegas dalam aduan 32 muka surat yang difailkan di mahkamah daerah Nevada mendakwa Ronaldo merogolnya pada 13 Jun, 2009. 

Jabatan Polis Metropolitan Las Vegas mengesahkan dalam satu kenyataan yang tidak menamakan bintang bola sepak itu, ia menerima panggilan aduan serangan seksual pada tarikh berkenaan. 

“Ketika laporan diambil, mangsa tidak menyatakan kepada dektektif lokasi kejadian atau butiran suspek. Pemeriksaan perubatan turut dijalankan,” katanya. 

“Pada September 2018, kes itu dibuka semula dan detektif kami mengambil langkah susulan ke atas maklumat yang diberikan oleh mangsa.”

Mayorga dalam tuntutan samannya mendakwa, dirinya dipaksa menandatangani perjanjian untuk merahsiakan dakwaan rogol itu dan mendapatkan sekurang-kurangnya $200,000 denda dan caj kerosakan. 

Aduan itu pertama kali dilaporkan oleh majalah Jerman Der Spiegel. Peguam Ronaldo dilaporkan mengancam untuk menyaman majalah berkenaan berhubung laporan itu. 

Dalam samannya, Mayorga mendakwa bertemu Ronaldo ketika bintang itu berusia 24 tahun pada petang 12 Jun, 2009 di sebuah kelab malam Rain di Palm Hotel and Casino di Las Vegas.

Katanya, dia menerima pelawaan untuk menyertai Ronaldo dan beberapa yang lain di bilik hotelnya untuk “menikmati pemandangan jalur Las Vegas”.

Dia dijemput untuk menyertai yang lain dalam tab mandian panas namun menolaknya kerana tidak membawa pakaian mandi, kata pengadu.

Ronaldo menawarkan pakaian kepadanya dan mengikutnya ke bilik air di mana dia menukar pakaian, katanya. 

Selepas menolak permintaan Ronaldo untuk mengadakan seks oral dan mahu pulang, Ronaldo menariknya ke bilik tidur dan merogolnya. – AFP, 2 Oktober, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen