KES taun meningkat tiga kali ganda sejak tiga bulan lalu di Hodeida, Yaman, yang merupakan kawasan bergolak antara sekutu pro kerajaan dan pemberontak, menurut pergerakan Save the Children.
“Kemudahan perubatan yang disokong Save the Children di seluruh Hodeida mencatatkan peningkatan 170 peratus angka kes taun dari 497 kes pada Jun kepada 1,342 kes ada Ogos,” menurut laporan NGO yang berpangkalan di London itu.
Pada akhir Julai, serangan udara menyebabkan kemusnahan kemudahan rawatan air bersih yang menbekalkan sebahagian besar bekalan air kepada Hodeida, menurut laporan itu.
“Selepas insiden berkenaan, kes taun meningkat hampir dua kali ganda antara Julai dan Ogos di pusat kesihatan yang dibantu NGO berkenaan,” katanya.
Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran Yaman akan berdepan penularan taun kerana hujan pada musim luruh meningkatkan risiko jangkitan wabak itu.
Yaman sudah pun dilanda dua penularan wabak taun sejak dua tahun lalu.
Menurut WHO, 2,451 orang maut akibat taun di seluruh Yaman sejak April 2017, manakala jutaan lagi suspek kes itu dilaporkan dalam tempoh yang sama.
Lebih 120,000 suspek kes itu dilaporkan antara Januari dan pertengahan Ogos 2018, menurut PBB, ketika pakatan tentera kerajaan yang diketuai Arab Saudi memerangi pemberontak Huthi yang disokong Iran. – AFP, 2 Oktober, 2018
Komen