Calon PAS yakin raih 80% undi tentera di Port Dickson


Mohd Farhan Darwis

CALON PAS di Port Dickson, Mohd Nazari Mokhtar yakin beliau akan dapat 80% undi anggota keselamatan yang akan mengundi dalam pilihan raya kecil kawasan parlimen itu minggu depan.

Leftenan Kolonel bersara itu juga yakin beliau akan menang pilihan raya kecil itu dengan meraih sokongan 60% pengundi pada hari pengundian pada 13 Oktober nanti.

Dalam wawancara dengan The Malaysian Insight, calon parti Islam itu menunjukkan kira-kira bagaimana beliau yakin boleh menguasai undi awal anggota keselamatan itu.

Parlimen Port Dickson, yang dikenali sebagai Bandar Tentera Darat mempunyai 75,770 pengundi, dengan 6,690 daripadanya anggota tentera dan 578 anggota polis.

Menurut Nazari, walaupun beliau bersara awal daripada perkhidmatan, kawan-kawannya masih ada yang memimpin pasukan di Port Dickson sekarang dan ada pengaruh kepada anggota.

“Saya buat kerja bukan untuk saya tapi untuk anak-anak buah kita, komrad kita,” katanya, dalam wawancara bersama The Malaysian Insight, di Port Dickson, baru-baru ini.

Oleh sebab itu, beliau yakin tidak mustahil akan ada peralihan undi kepada parti Islam itu daripada anggota tentera dan polis yang berjumlah lebih 7,000 orang itu.

“Kita kena ingat, ini bandar anggota, tolak campur bersama isteri, anak dan keluarga mereka boleh mencecah sehingga 15, 000 orang. Tambah 7,000 anggota, kita ada 21,000 hingga 22,000 undi.

“Sekiranya proses gerak gempur berjaya saya tidak terkejut saya boleh dapat 80% undi tentera dan veteran,” katanya.

Selain Nazari, Saiful Bukhari Azlan yang merupakan bekas pembantu Dato' Seri Anwar Ibrahim yang sebelum ini menuduh Presiden PKR itu dalam kes Liwat II turut bertanding merebut kerusi parlimen Port Dickson.– Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 2 Oktober, 2018.

Nazari yang juga bekas presiden Kelab Kebajikan Veteran dan Pesara Tentera (Kerabat) bakal berhadapan dua gergasi politik di Port Dickson ini.

Lawannya ialah bakal Presiden PKR Anwar Ibrahim yang memulakan jalan untuk jadi perdana menteri melalui pilihan raya kecil ini, dan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan selama dua dekad.

Beliau juga berdepan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan selama dua dekad, Isa Samad yang masih popular di tempat itu, biarpun terpalit namanya di peringkat nasional.

Nazari juga yakin kedudukannya sebagai aktivis kepada veteran akan memberikan undi kepada PAS, selain meraih undi daripada pengundi Umno yang tidak akan memilih Isa dan tentu tidak akan mengundi Anwar.

“Peluang PAS mungkin boleh dapat undi sebanyak 60%, daripada undi Melayu mungkin 30%,” katanya.

“Ini pada kiraan kami, tidak termasuk pengundi tegar PAS seramai 6,000 pengundi dan pengundi awal seramai 7,000 orang… peluang itu ada,” tambahnya.

Port Dickson bukanlah tempat yang asing bagi Mohd Nazari. Beliau yang berkhidmat 28 tahun dalam sebagai pegawai tentang laut memulakan kerjaya sebagai pegawai kadet di Kem Sebatang Karah pada 1980.

Beliau bersara 10 tahun lalu dengan jawatan akhirnya sebagai pengarah perkhidmatan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Kementerian Pertahanan.

Selepas jadi orang awam, Nazari, 57, menyertai PAS. Beliau yang berasal dari Felda Bukit Besar, Batu Pahat kemudian diberi amanah menganggotai Lajnah Tanah, Peneroka Bandar dan Orang Asal PAS Pusat antara 2010 hingga 2016.

Pilihan raya kecil Port Dickson ini adalah yang ketiga bagi Nazari, pernah dua kali bertanding kerusi negeri di Johor pada pilihan raya umum 2013 dan 2018. Pada PRU13, beliau kalah di DUN Pasir Raja. Pada PRU14, beliau kalah pula di DUN Panti, kali ini turut hilang wang pertaruhan.

Selain Isa yang bertanding sebagai calon bebas, ada empat lagi calon bebas dalam pilihan raya kecil ini, termasuk bekas pembantu Anwar, Saiful Bukhari Azlan yang terbabit dalam tuduhan liwat kedua bakal presiden PKR itu.

“Pada mulanya kita lihat peluang PAS sangat tipis, tapi bila pada hari penaman calon, ada tujuh calon bertanding termasuk lima calon bebas, bila mereka masuk saya lihat peluang PAS sangat tinggi,” kata Nazari.

Tiga lagi calon bebas di Port Dickson ialah Lau Seck Yan, Stevie Chan, dan Kan Chee Yuen.

Di bawah Parlimen Port Dickson terdapat lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu DUN Chuah, Lukut, Bagan Pinang, Sri Tanjung, dan Linggi. Isa pernah jadi Adun Linggi selama lima penggal dan pernah juga menang pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang pada 2009.

PAS dijangka memberi saingan sengit kepada Dato' Seri Anwar Ibrahim dalam PRK Port Dickson kali ini yang menyaksikan pertandingan tujuh penjuru.Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 2 Oktober, 2018.

Kerusi ini yang asalnya dikenali dengan nama Telok Kemang adalah kubu kuat BN sehinggalah dipecahkan oleh PKR pada PRU 2008. Pada pilihan raya umum ke-12 itu, calon PKR Kamarul Bahrin Abbas mengalahkan bekas timbalan menteri BN, S Sothinathan. Kamarul mengekalkan kerusi itu pada PRU 2013.

Pada PRU14, Danyal Balagopal Abdullah sekali lagi menafikan pengaruh BN apabila menang dengan majoriti 17,710 undi mengalahkan V Mogan dari MIC dan calon PAS Mahfuz Roslan.

Mahfuz yang meraih 6,594 undi hilang wang pertaruhan. Dua lagi calon PAS di DUN Linggi dan DUN Sri Tanjong juga hilang deposit dalam pilihan raya umum empat bulan lalu.– 2 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen