Aktivis Sarawak gesa Dr Mahathir laksana referendum pisah Malaysia


Desmond Davidson

“Rakyat Sarawak dan Sabah sudah matang politik, mereka harus amalkan hak mereka untuk menjadi tuan kepada takdir mereka sendiri,” kata Presiden Sapa Lina Soo (kanan) kepada The Malaysian Insight.. – Gambar fail The Malaysian Insight pic, 1 Oktober, 2018.

PUTRAJA harus jalankan referendum untuk membiarkan penduduk Sabah dan Sarawak memilih antara autonomi atau merdeka dari semenanjung Malaysia, kata presiden Parti Reform Negeri Sarawak Lina Soo.

Soo merujuk sebuah laporan terbitan Free Malaysia Today Sabtu lalu yang memetik Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata beliau percaya penduduk Sabah dan Sarawak tidak akan memilih untuk berpisah dari Semenanjung. Soo berkata tidak ada peruntukan yang melarang mereka untuk berpisah di dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Rakyat Sarawak dan Sabah sudah matang politik, mereka harus amalkan hak mereka untuk menjadi tuan kepada takdir mereka sendiri,” kata Soo kepada The Malaysian Insight.

“Dr Mahathir telah beri lampu hijau ketika mengatakan Sarawak dan Sabah tidak dilarang untuk mendapat kemerdekaan daripada MA63.

“Daripada pengakuan Dr Mahathir itu, ini bermakna kerajaan persekutuan tidak memiliki kuasa atau autoriti untuk melarang rakyat Sarawak dan Sabah untuk mendapat kemerdekaan jika mereka mahu,” katanya lagi.

Soo yang juga merupakan pengerusi pengerusi Persatuan Aspirasi Rakyat Sabah (Sapa), berkata kerajaan persekutuan tidak “harus takut kerana rakyat akan memilih untuk terus bersama semenanjung,” jika benar persekutuan yang ditubuhkan sejak 1963 itu memberi manfaat kepada rakyat Sabah dan Sarawak.

“Kerajaan Sarawak dan Sabah boleh mengikut Singapura pada tahun 1965 untuk keluar dari persekutuan, namun kedua-dua negeri itu tidak bersedia dan tidak mempunyai kematangan politik pada waktu itu.

“Namun setelah 55 tahun menderita ekoran pelanggaran MA63 di samping manipulasi yang tidak mengikut perlembagaan dan urus tadbir yang buruk mengakibatkan hutang luar dan gejala rasuah, rakyat Sarawak dan Sabah tidak lagi boleh tanggung beban yang diletakkan ke atas bahu mereka dan generasi seterusnya.

Soo berkata, beliau yakin rakyat di negeri itu telah mencapai kematangan politik, mereka mahu menentukan takdir sendiri dan memiliki keazaman diri yang tinggi, rakyat Sarawak dan Sabah hari ini, lebih bersedia untuk berdepan dengan apa-apa cabaran.

“Dengan hasil minyak dan gas, dan anugerah tanah yang subur serta sumber-sumber semulajadi yang banyak, jangkaan kejayaan ekonomi pasti dapat dinikmati,”katanya lagi

Beliau turut berkata Artikel 8 daripada Sembilan Prinsip Utama pentadbiran Rajah Inggeris- asas awal Perlembagaan Sarawak tahun 1941- masih dipegang, “matlamat kerajaan sendiri harus disedari, bahawa rakyat Sarawak harus dianugerahkan pentadbiran kerajaan sendiri, usaha-usaha berterusan harus dijalankan untuk mencapai matlamat ini dengan mendidik mereka menjalankan kewajipan dan tanggungjawab serta hak keistimewaan warga”.

Sembilan Prinsip Utama yang diletakkan Charles Vyner Brooke itu kemudian dimasukkan ke dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan, Borneo Utara dan Sarawak pada tahun 1962. – 1 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen