JUMLAH mangsa yang maut akibat gempa bumi dan tsunami di Sulawesi Tengah, Indonesia meningkat kepada 1,203 orang hari ini, lapor Xinhua.
Berdasarkan laporan dikeluarkan Institut Pengurusan Bencana Indonesia, Pusat Penjagaan dan Data Kemanusiaan, jumlah kematian itu dicatatkan di kota Palu dan Donggala, tidak termasuk di dua daerah lain yang turut terjejas iaitu Parigi Mountong serta Mamuju Utara.
Data diperolehi dari empat hospital dan tiga kampung, masing-masing satu di daerah kecil, balai polis serta masjid di bandar Palu dan daerah Donggala.
Gempa bumi bermagnitud 7.4 pada skala Richter itu menggoncang Sulawesi Tengah pada 5.02 petang, turut menyebabkan tsunami setinggi tiga meter di pantai Palu.
Sejumlah 215 gempa susulan melanda wilayah berkenaan setakat ini. Tsunami dengan ketinggian 0.5 hingga 3 meter menjejaskan kawasan pantai Talisa di bandar Palu dan daerah Donggala.– Bernama, 1 Oktober, 2018.
Komen